KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang percaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh menangani penyebaran berita palsu dan ucapan berbaur kebencian secara berkesan.
Katanya, berita palsu dan ucapan berbaur kebencian itu bukan sahaja boleh menghancurkan Malaysia dengan masyarakat majmuk, tetapi juga dikenal pasti sebagai ancaman eksistensi ketiga terhadap manusia.
“Di Malaysia, atau di seluruh dunia, persoalan mengenai berita palsu, ucapan berbaur kebencian sudah mengatasi sifat manusia dan kita sepatutnya berupaya untuk memeranginya,” katanya di forum Demokrasi Pada Era Polarisasi di sini malam tadi.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, beliau sendiri pernah menjadi sasaran penyebar berita palsu di media sosial pada 2017, dan isu itu menjadi suatu kebiasaan dan kelaziman dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kebelakangan ini, beliau berkata terdapat peningkatan dalam sentimen perkauman dan agama di negara ini, dengan masalah itu diburukkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dan menyebar berita palsu. – BERNAMA
Sumber : Kerajaan boleh tangani penyebaran berita palsu
0 Comments