Media sosial bukan tempat buka aib pasangan

Saling membuka pekung antara gejala tidak sihat dalam rumah tangga, apabila ada suami isteri mengambil kesempatan menggunakan kuasa viral di media sosial sebagai jalan penyelesaian konflik.

Gejala itu sebenarnya bukan sesuatu yang fitrah dalam keluarga, malah umat Nabi Muhammad SAW sendiri dilarang agama daripada membuka aib, termasuk pasangan mereka.

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa sahaja beriman dengan Allah dan kiamat, maka hendaklah dia bercakap dengan kata-kata baik atau berdiam diri. (HR Bukhari)

Bagaimanapun, ada pengecualian dalam ‘membuka pekung’ itu kerana golongan isteri boleh berbuat demikian sekiranya bertujuan menuntut keadilan tetapi bukan melalui media sosial, sebaliknya hakim atau mahkamah syariah.

Hal itu jelas dalam kisah Hindun, iaitu isteri Abu Sufian yang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan mengadu beliau terpaksa mengambil duit suami secara rahsia untuk membeli keperluan diri dan anak.

Hindun terpaksa berbuat demikian kerana sifat Abu Sufian yang sangat kedekut dan Rasulullah SAW membenarkannya, dengan syarat jumlah wang diambil sekadar memenuhi keperluan diri dan anak.

Ibrah daripada kisah itu cukup mengingatkan suami isteri supaya tidak semberono meluahkan masalah rumah tangga, apatah lagi membincangkannya secara terbuka dalam media sosial bertujuan memburuk-burukkan pasangan.

Tindakan Hindun menemui Rasulullah SAW ialah kaedah terbaik mencari jalan penyelesaian kerana mendapatkan khidmat nasihat Baginda yang memiliki keperibadian amat tinggi, amat boleh dipercayai dan sentiasa menjaga aib orang sekeliling.

Ahli motivasi dan pendakwah, Noor Laila Aniza Zakaria, berkata hal itu berbeza dengan masyarakat hari ini, yang menganggap media sosial sebagai jalan pintas menyelamatkan rumah tangga yang goyah.

“Menghebahkan masalah rumah tangga di media sosial tidak akan menyelesaikan konflik.

“Malangnya, ada berbangga kisah rumah tangga diketahui ramai kerana kononnya bukti mereka berada di pihak benar.

“Allah SWT tidak membenarkan hamba-Nya membuka aib orang lain di dunia kerana kesannya cukup besar dan dahsyat, malah di akhirat kelak, segala dosa di dunia akan dipertontonkan.

“Maka, kita perlu mengawal penggunaan media sosial dan menggunakan kemudahan teknologi dengan bijaksana serta berhemah,” katanya.

Noor Laila Aniza menambah, ramai terjebak dengan tindakan mengaibkan orang lain di media sosial kerana tidak dapat mengawal emosi.

“Banyak kes viral mengenai rumah tangga, malah ada isteri berkongsi gambar kekasih suaminya untuk menunjukkan keburukan pasangan.

“Selain itu, ada isteri mengadu suami culas membayar nafkah di media sosial untuk meraih perhatian masyarakat,” katanya.

Persoalannya, apakah isteri solehah akan menggunakan cara sedemikian untuk mendapatkan pembelaan, sedangkan jelas hukumnya atau mencari kaedah yang dibenarkan syarak seperti mengadu kepada wali atau kadi.

Ada sebahagian masyarakat menganggap bercerita di media sosial sebagai jalan melepaskan tekanan, meskipun ia sebenarnya mengakibatkan kita terdedah kepada dosa lebih besar.

“Saya ingin menegur segelintir masyarakat, yang suka membaca status mengenai konflik rumah tangga orang lain di media sosial.

“Ia bersangkut paut dengan hati dan akhlak kita. Jika boleh, bacalah perkara membawa kebaikan, usah mencampuri atau seronok berkongsi kisah keburukan rumah tangga orang lain,” katanya.

Ahli motivasi dan pendakwah, Noor Laila Aniza Zakaria. - Foto Azhar Ramli

Sebagai alternatif, cari jalan terbaik untuk mengadu nasib dan menyelesaikan isu rumah tangga secara aman serta harmoni.

“Ada ketika, sekiranya tidak diluahkan perasaan dan masalah yang terbuku di hati akan mengundang tekanan dan kemurungan, jika boleh cari orang amanah mendapatkan bimbingan.

“Gunakan saluran betul seperti mendapatkan khidmat nasihat pejabat agama atau jika pasangan enggan berbincang, boleh terus ke mahkamah syariah bagi mendapatkan pembelaan.

“Sekiranya jalan terakhir ialah perpisahan, maka bulatkan tekad untuk ke mahkamah syariah dan usah buruk-burukkan pasangan, kerana ia menyukarkan lagi keadaan kerana membabitkan maruah,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Laila Aniza berkata, ada isu rumah tangga yang boleh dikongsi di media sosial bergantung kepada keadaan.

“Sekiranya individu suami isteri berkongsi kisah di media sosial bertujuan demi keselamatan diri, maka ia dibolehkan kerana tidak bertujuan mengaibkan sesiapa, sebaliknya lebih kepada melindungi diri.

“Umpamanya, ada isteri memohon perceraian dan kes sedang dibicarakan di mahkamah, tetapi masih diganggu suami dengan pelbagai kekerasan seperti mencederakan dan mengugut,” katanya.

Dalam kes sedemikian, beliau berkata, ia dibolehkan jika ketika itu tiada tindakan drastik sesuai diambil mahkamah, bagi melindungi diri mangsa dan keluarganya.



Sumber : Media sosial bukan tempat buka aib pasangan

Post a Comment

0 Comments