Bayi perempuan masih hidup ditemui di hadapan rumah kosong

SUNGAI PETANI: Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemui di hadapan sebuah rumah kosong di Kampung Sungai Deraka, Kota Kuala Muda, di sini, hari ini.

Bayi berkenaan ditemui adik kepada pemilik rumah berkenaan, Md Rashid Bakar, 54, ketika datang untuk melihat rumah terbabit pada jam 9.15 pagi.

"Rumah abang, Razali, 58, sebelum ini disewa oleh lelaki dan wanita, dipercayai pasangan suami isteri dan mereka keluar mengosongkan rumah berkenaan petang semalam.

"Apabila mereka keluar, pagi ini saya datang nak tengok rumah memandangkan saya memang diamanahkan abang untuk menjaga rumah ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Rashid berkata, ketika beliau sampai di rumah itu, beliau ternampak sesuatu yang bergerak di dalam bungkusan kain batik berwarna merah di hadapan pintu rumah.

Katanya, apabila menghampiri bungkusan berkenaan, beliau ternampak muka bayi sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

"Saya memang tidak berani memegang bayi itu, namun dia kelihatan tenang dan tidak menangis," katanya.

Beliau berkata, kakitangan perubatan tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian sebelum membawa bayi berkenaan untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan mengenai penemuan bayi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan forensik berhubung penemuan bayi itu.



Sumber : Bayi perempuan masih hidup ditemui di hadapan rumah kosong

Post a Comment

0 Comments