KUALA LUMPUR: Semua universiti awam (UA) akan melaksana kaedah pendaftaran kemasukan pelajar baharu ke kampus secara dalam talian pada Julai ini bagi mengelak risiko penularan COVID-19.
Presiden, Persatuan Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), Raja Shah Erman Raja Ariffin, berkata kaedah itu sudah pun diluluskan di peringkat senat UA di mana ibu bapa dan pelajar tidak perlu hadir ke kampus bagi urusan pendaftaran.
Katanya, setiap pelajar baharu akan dimaklumkan mengenai cara dan kaedah pendaftaran kemasukan ke kampus sebaik menerima surat tawaran yang dijangka dikeluarkan bermula minggu depan.
"Bagi urusan kemasukan ini memang pihak universiti sudah bersedia dengan kaedah baharu. Ibu bapa dan pelajar tidak perlu hadir ke kampus, malah program orentasi kepada pelajar juga tidak akan diadakan.
"Pelajar hanya perlu mengesahkan penerimaan kemasukan secara dalam talian dan urusan pembayaran tertentu juga dibuat menerusi dalam talian," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata, sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), UA sudah meningkatkan keupayaan internet bagi membolehkan semua aktiviti akademik diadakan secara dalam talian termasuk sesi kuliah.
Katanya, kebanyakan universiti juga sudah mengubah kurikulum untuk disesuaikan dengan persekitaran baharu sepanjang tahun ini.
"Contohnya bagi pelajar baharu jurusan kejuruteraan di UNIMAP (Universiti Malaysia Perlis), kebiasaannya dari semester pertama hingga akhir, aktiviti pembelajaran akan membabitkan makmal.
"Namun dengan perubahan kepada kurikulum ini, untuk semester pertama, mereka tidak perlu hadir ke makmal sebaliknya sesi pembelajaran hanya akan dijalankan sepenuhnya menerusi dalam talian, sama seperti pelajar tahun lain," katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan ada dokumen pengesahan yang perlu diserahkan bagi melengkapkan proses pendaftaran, Raja Shah Erman berkata, kebanyakan pelajar yang memohon sudah mengisi maklumat mereka dalam UPU.
"Jika ada pun sijil-sijil pengesahan. Namun itu hanya untuk rekod pihak universiti. Ia boleh diserahkan bila kampus kembali dibuka. Mungkin berkaitan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang memerlukan kehadiran pelajar. Tapi saya yakin ada kaedah yang akan mempermudahkan pelajar nanti," katanya.
Mengulas pelajar tahun akhir dan pasca siswazah yang dibenar memasuki kampus, beliau berkata jumlah mereka tidak begitu ramai dan boleh dikawal.
"Universiti tetap akan melaksana SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan kepada mereka seperti ujian saringan suhu, penjarakan sosial dan penggunaan pelitup muka serta sanitizer," katanya.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi satu kenyataan semalam memaklumkan kemasukan pelajar baharu UA, Politeknik dan Kolej Komuniti serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi sesi akademik 2020/2021 akan bermula seawal 1 Julai depan.
Proses itu bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat dan tetap tertakluk kepada tarikh penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sumber : Pendaftaran kemasukan UA dibuat dalam talian
0 Comments