COVID-19: Kematian lebih tinggi daripada perokok

PUTRAJAYA: Analisa Kementerian Kesihatan mendapati jumlah kes kematian disebabkan COVID-19 kepada individu yang merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tabiat merokok sudah terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia, sekali gus meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama ketika wabak COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan pada 27 Mei lalu dan beberapa kajian di luar negara juga mendapati perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus COVID-19.

"COVID-19 adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru ia menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan Coronavirus dan penyakit-penyakit lain.

"Penelitian dan analisa awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dijalankan terhadap 86 daripada jumlah pesakit COVID-19 yang sudah meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus atau iaitu 17 orang adalah terdiri daripada perokok.

"Seorang perokok yang dijangkiti COVID-19 akan mendapat kompilasi yang lebih tinggi berbanding individu tidak merokok. Ini kerana perokok akan mendapat kerosakan paru-paru atau radang paru-paru, akan berakhir dengan kematian," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

KKM juga membuat pemantauan bagi kesalahan penjualan produk rokok walaupun negara kini masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam tempoh ini kebanyakan premis penjualan tidak beroperasi seperti dahulu, namun penjualan atas talian didapati masih giat berjalan misalnya melalui platform e-dagang.

Kesalahan penjualan di atas talian dan kesalahan penjualan produk yang mengandungi nikotin adalah masing-masing dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta Racun 1952.

Sepanjang penguatkuasaan PKP dan PKPB, didapati sebanyak 118 laman sesawang persendirian, e-dagang dan media sosial melakukan kesalahan dan pihak kementerian sudah mengambil tindakan terhadap mereka.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menambah, bagi perokok yang ingin berhenti merokok namun terbatas dengan kawalan pergerakan yang kini sedang berkuat kuasa, mereka boleh jalani perkhidmatan kaunseling secara atas talian yang disediakan kementerian bersama beberapa institusi termasuk Persatuan Farmasi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain itu, pelbagai maklumat berkaitan bahaya merokok dan COVID-19 juga boleh didapati melalui aplikasi MySejahtera dan laman sesawang www.jomquit.moh.gov.my.

Sepanjang tempoh PKP dan PKPB, dimaklumkan seramai 400 perokok sudah mendaftar bagi mendapatkan bantuan berhenti merokok atas talian dan lebih 5,000 orang melayari laman sesawang www.jomquit.moh.gov.my.

"Angka ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan perokok mengenai bahaya merokok," katanya.



Sumber : COVID-19: Kematian lebih tinggi daripada perokok

Post a Comment

0 Comments