COVID-19: Kontak rapat kakitangan Wisma Putra dikesan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah mengesan ahli keluarga dan kontak rapat kakitangan Wisma Putra yang disahkan positif COVID-19, kelmarin.

Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 18 individu ialah dalam kalangan ahli keluarganya iaitu kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 dan 38 individu lagi adalah rakan sekerjanya di Wisma Putra.

KKM sudah membuat saringan kesihatan COVID-19 kepada semua individu terbabit dan hingga kini semua mereka tidak dijangkiti wabak berkenaan.

"Semalam dilaporkan seorang kakitangan di Wisma Putra disahkan dijangkiti COVID-19, kita sudah mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi iaitu ahli keluarga kakitangan terbabit.

"Semua mereka sudah menjalani saringan kesihatan COVID-19 dan tiada seorang pun dari mereka dijangkiti COVID-19. Bagaimanapun, kita tetap meminta individu terbabit jalani kuarantin di rumah selama 14 hari," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan seorang kakitangan Wisma Putra positif COVID-19 dan ia adalah kes pertama membabitkan kakitangannya di kementerian itu.

Hishammuddin berkata kakitangan berkenaan dikesan mempunyai jangkitan COVID-19 itu selepas menjalani ujian saringan yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kementerian itu kelmarin.

Sebelum menjalani ujian saringan, kakitangan itu tidak menunjukkan sebarang gejala COVID-19 seperti demam, selesema, batuk atau sakit tekak.



Sumber : COVID-19: Kontak rapat kakitangan Wisma Putra dikesan

Post a Comment

0 Comments