Setelah lama menunggu, pelakon dan penyanyi, Syura Badron, 33, akhirnya menerima sebahagian bayaran dari Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy.
Syura menganggap bayaran RM3,000 diperolehnya daripada penerbit teater Korupsi Dewan Semandung itu pada pertengahan Mei lalu sebagai rezeki Aidilfitri.
Menurut Syura, meskipun bayaran sudah diterimanya sekitar 24 peratus sahaja daripada jumlah penuh yang dijanjikan, dia hanya mampu bersyukur.
Ujarnya, penerbit masih ada tunggakan baki bayaran kira-kira 76 peratus lagi.
” Daripada tak dapat langsung dan umpama menunggu buah yang tidak gugur, saya terima sajalah berapa jumlah bayaran mampu dibuat kak Ogy dengan rasa syukur.
” Apatah lagi, ketika itu Aidilfitri semakin hampir dan saya perlu sediakan persiapan anak-anak.
” Saya sebenarnya tak suka mendesak, namun dalam hal ini kalau terus berdiam diri pun tak boleh juga.
” Kerja dah lama selesai tapi bayaran masih belum dilunaskan, dan situasi itu sangat mengecewakan.
” Apapun, saya berterima kasih juga pada kak Ogy dengan bayaran RM3,000 itu.
” Bagi bayaran selebihnya, tak pastilah bila akan dapat walaupun diberitahu sekitar Jun ini,” katanya kepada Harian Metro.
Bukit kalau ditarah sikit-sikit, lama-lama rata juga
Ditanya mengenai simpanan, Syura atau nama sebenar Zuraidah Badron berkata dia tahu warganet sering mempersoalkan perkara ini, tapi perlulah difikir sampai bila nak bergantung menggunakan wang simpanan sahaja.
” Umpama bukit kalau ditarah sikit-sikit, lama-lama rata juga. Begitulah dengan konsep simpanan kita.
” Kalau wang asyik keluar dan jumlah masuknya tiada atau kurang, lama-lama habis juga.
” Lagi pun, wang yang diminta pada kak Ogy itu adalah mengikut perjanjian yang dibuat sebelum memulakan kerja.
” Bayaran dituntut itu hak saya yang memang patut dia bayar sebagai penerbit,” katanya.
Syura yang juga ibu tunggal tiga anak berkata dia bagaimanapun sangat menghargai usaha Ogy yang bertungkus-lumus membuat kempen jualan pes kari air tangannya.
Ia bertujuan untuk mengumpulkan kewangan bagi melunaskan segala kesulitan pembayaran yang berlaku.
Apapun, pada Ramadan lalu Syura turut berniaga kuih raya buatannya untuk mendapatkan sumber pendapatan keluarga.
Katanya dia tidak boleh duduk menunggu sahaja bayaran teater berkenaan daripada Ogy yang ketika itu dirasakan ‘samar bayangan’.
Dalam teater Korupsi Dewan Semandung, Syura dipilih menggantikan pelakon Hanna Halim pada saat akhir yang menuntut dia memberi komitmen penuh dalam masa singkat untuk latihan sebelum persembahan sebenar berlangsung.
Teater arahan Khir Rahman itu diterbitkan produksi Ogy Ventures & Network yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Selain Syura, barisan pelakon lain ialah Joey Daud, Tauke Jambu, Mark Adam, Man Raja Lawak, Azmi Caliph Buskers, Che Mat Raja Lawak dan ramai lagi.
via 1 MIN READ
0 Comments