122 kanak-kanak terbunuh dalam kempen perangi dadah Filipina

GENEVA: Sekurang-kurangnya 122 kanak-kanak terkorban dalam usaha memerangi dadah di Filipina, kata dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini, menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan.

NGO itu melahirkan kebimbangan kemungkinan angka sebenarnya jauh lebih tinggi, kata mereka dalam sebuah laporan, ketika Majlis Hak Asasi Manusia PBB bersiap untuk meninjau situasi di Filipina.

Kempen tegas anti-dadah oleh Presiden, Rodrigo Duterte mendapat kritikan aktivis hak asasi yang menyifatkan polis bertindak keras terhadap suspek dadah dan ribuan sudah terbunuh sejak 2016.

Laporan bertajuk 'Bagaimana mereka boleh melakukan seperti ini kepada anak saya?', diterbitkan bersama oleh World Organisation Against Torture (OMCT) dan Pusat Pembangunan dan Hak Kanak-kanak (CLRDC, Filipina).

Laporan itu mendokumentasikan 122 kes pembunuhan kanak-kanak, berusia satu hingga 17 tahun, antara Julai 2016 hingga Disember 2019 di seluruh negara.

"122 hanya sebahagian kecil; mungkin ada banyak lagi di negara ini. Bayangkan jika anda melihat 122 kes ini di depan kamera. Bayangkan teriakan itu," kata Setiausaha Agung OMCT, Gerald Staberock kepada wartawan menerusi taklimat atas talian.

Isu hak asasi manusia di Filipina akan dibangkitkan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, yang memulakan sesi persidangan ke-44, esok.

Majlis itu meminta Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet untuk menyiapkan laporan bertulis untuk dibentang pada sesi itu, diikuti dialog interaktif berkaitan hasil penemuannya.

Laporan itu, yang diterbitkan awal Jun, memaklumkan usaha memerangi dadah menyebabkan pembunuhan secara sistematik dan meluas dalam konteks yang hampir tidak dapat dilaksanakan.

Filipina adalah satu daripada 47 negara yang kini menganggotai majlis itu.

Laporan NGO itu menetapkan cadangan kepada majlis, termasuk mewujudkan suruhanjaya siasatan bebas mengenai pelanggaran hak asasi manusia di Filipina, dengan fokus khusus kepada anak-anak.

Laporan mereka mengenal pasti empat keadaan berulang di mana kanak-kanak terbunuh.

Kanak-kanak dijadikan sasaran langsung, ada kalanya sebagai saksi pembunuhan lain; proksi apabila sasaran sebenar tidak dapat dijumpai; terbunuh kerana identiti salah atau terkena peluru sesat dalam operasi polis.

Laporan itu menyoroti enam kes, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai terbunuh selepas menyaksikan seorang dewasa dibunuh oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut laporan itu, mangsa termuda berusia 20 bulan.

Tujuh kanak-kanak terbunuh antara Januari dan Mac tahun ini.

Perang terhadap dadah juga mengakibatkan peningkatan tangkapan dan penahanan kanak-kanak, kata laporan itu.

Laporan itu mengatakan, dianggarkan kira-kira 27,000 pembunuhan yang tidak mengikut undang-undang berlaku dalam kempen anti-dadah oleh Duterte.

Staberock mendakwa sebahagian besar masyarakat antarabangsa menutup mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Filipina. - AFP



Sumber : 122 kanak-kanak terbunuh dalam kempen perangi dadah Filipina

Post a Comment

0 Comments