GUADALAJARA: Sekurang-kurangnya 16 mayat dan 26 beg penuh dengan anggota badan manusia ditemui di luar bandar Guadalajara, Mexico.
Pendakwa Raya Jalisco, Gerardo Solis, yang mendedahkan penemuan mengerikan itu semalam, berkata semuanya ditemui dalam tempoh sepuluh hari lalu di empat wilayah berlainan di barat negara itu.
Bahagian badan 14 mayat ditemui di sempadan di pusat negeri Guanajuato, kawasan paling ganas kerana terkenal dengan kumpulan penjenayah penyeludupan petrol.
Menurut Solis lagi, mayat tiga lelaki ditemui di luar lombong bijih timah manakala mayat seorang wanita ditemui dengan tangan dan kakinya diikat.
"Selain itu, tulang sembilan lelaki serta seorang wanita ditemui di sebuah ladang kecil dan pihak berkuasa turut menemui mayat yang dibungkus dalam 26 beg di Guadalajara, salah satu bandar terbesar di Mexico.
"Tidak dapat dipastikan berapa banyak mayat yang ditemui ini, Institut Sains Forensik akan tentukan selepas siasatan," katanya.
Pada 2006, Presiden Mexico ketika itu, Felipe Calderon, melancarkan operasi tentera yang penuh kontroversi bagi membanteras kumpulan penjenayah terancang.
Pakar dan kumpulan hak asasi manusia merasakan tindakan itu menjadi antara punca utama keganasan meningkat di Mexico.
Angka rasmi menunjukkan hampir 287,000 pembunuhan berlaku di Mexico, namun tidak jelas berapa banyak yang ada kaitan secara langsung dengan keganasan kartel dadah. - AFP
Sumber : 16 mayat, 26 beg berisi anggota badan manusia ditemui di Mexico
0 Comments