
TELUK INTAN: Hujan lebat sejak semalam dan limpahan air Sungai Batang Padang menyebabkan lima kawasan di Langkap, Teluk Intan dilanda banjir kilat, hari ini.
Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Matang Jambu, Kampung Sungai Rambai, Kampung Belt, Kampung Batu Pecah dan Kampung Chikus.
Banjir menjejaskan 13 keluarga di kawasan terjejas dan susulan itu, pusat pemindahan sementara di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap dibuka pada jam 2 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.49 pagi.
Menurutnya, semua penduduk yang terjejas sudah dipindahkan ke pusat pemindahan untuk tindakan lanjut.
"Paras air naik setinggi 0.9 meter di kawasan rumah penduduk susulan hujan lebat dan limpahan air sungai.
"Ketika ini keadaan di lokasi agak mendung namun tidak hujan dan air juga belum surut sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pihaknya akan membuat pemantauan di lokasi dari semasa ke semasa.
Sumber : 5 kampung di Langkap banjir
0 Comments