‘Ayah tolong, sakit… panas…’ – Budak perempuan 12 tahun rentung dalam kebakaran

BALING – “Saya dengar dengan jelas suara anak saya menjerit, ‘Ayah tolong, sakit…panas’ dan cuba tendang pintu bilik tetapi tak berjaya sebelum keluar menyelamatkan diri.

“Sampai sekarang saya masih terdengar suara dia jerit minta tolong, sedih tak dapat selamatkan anak,” kata Rozali Nayan, 55.

Ketika kejadian, Rozali dan isterinya, Norsakinah Shuib, 33, serta anak mereka, Nur Batrisyia Rozali, 12, sedang tidur di rumah berkenaan.

Kejadian disedari Norsakinah yang juga ibu tiri Nur Batrisyia selepas terhidu asap dan menyedari rumah mereka sedang terbakar sebelum mengejutkan suami serta anaknya.

Katanya, dia cuba menyelamatkan anaknya dengan menendang pintu bilik tetapi gagal berbuat demikian sebelum dia meminta tolong jiran berhampiran rumah.

“Saya sangat sedih kerana sudah berusaha untuk menyelamatkannya tetapi tidak berdaya sebab api merebak dengan cepat.

“Pasukan bomba sampai tak lama kemudian dan selepas api dipadamkan barulah jasad anak saya ditemui.

“Barangan saya musnah dan tak dapat diselamatkan malah kami kini tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat remaja perempuan itu ditemui dalam keadaan terlentang dan terbakar sepenuhnya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 9.40 pagi oleh pasukan Bomba sewaktu operasi pemadaman dilakukan.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kebakaran itu membabitkan sebuah rumah dua tingkat yang didirikan separuh kayu dan separuh batu yang didiami tiga orang iaitu bapa, ibu tiri serta remaja terbabit.

“Bapa mangsa cuba menendang pintu bilik mangsa namun gagal kerana pintu bilik mangsa dikunci dari dalam.

“Mangsa (si mati) dipercayai berada di tingkat atas dipercayai terjatuh ke tingkat bawah selepas api marak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

The post ‘Ayah tolong, sakit… panas…’ – Budak perempuan 12 tahun rentung dalam kebakaran first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments