PETALING JAYA – Ibu kepada penyanyi Kaka Azraff iaitu Redida Aziz, 64, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pukul 9.25 pagi tadi.
Kaka atau nama sebenarnya Noor Atiqa Noor Azraff, 34, berkata, ibunya mengalami serangan jantung dan ‘minor stroke’ Jumaat lalu dan dikejarkan ke hospital berdekatan.
“Mak memang ada penyakit. Dia penghidap diabetes dan demensia lebih kurang hampir dua tahun tetapi demensia bukan tahap kronik lagi.
“Hari jumaat lalu mak kena serangan jantung, terus dibawa ke hospital dan hari ini dia (mak) menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Bukan Hal Aku itu mengakui sejak sebulan lalu, ibunya sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau akan pergi buat selamanya.
“Semasa bulan puasa, mak masuk hospital dan dijaga oleh saya sendiri. Ketika itu, dia asyik cakap tidak mahu susahkan anak-anak dan berkali-kali meminta maaf dengan saya.
“Bila mak pergi (meninggal dunia) hari ini, mungkin inilah maksud dia tidak mahu susahkan anak-anak,” ujarnya
Kaka yang sedang sarat mengandung anak ketiga itu bagaimanapun bersyukur kerana urusan Allahyarham dipermudahkan dan reda dengan ketentuan Ilahi.
“Mak sudah sakit lama, biarlah mak berehat di sana, di sana mungkin lebih baik daripada kita yang berada di sini,” kata Kaka.
Jenazah dikebumikan hari ini selepas Zohor di tanah perkuburan berhampiran dengan kediaman ibunya di Teluk Panglima Garang, Klang, Selangor – KOSMO! ONLINE
The post Ibu Kaka Azraff meninggal dunia first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments