Pasangan suami isteri maut rempuh lori buat pusingan U

PADANG BESAR – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang sebuah lori satu tan yang membuat pusingan U di Kilometer (KM) 7.6, Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran simpang Alor Sena, Paya, Beseri, di sini, hari ini.

Mangsa masing-masing berusia 32 dan 28 tahun berasal dari Langkawi bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di daerah ini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 3.45 petang yang memaklumkan mengenai kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan lori di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila pemandu lori dari arah Padang Besar sedang menghala ke Kangar membuat pusingan U untuk menghala balik ke Padang Besar.

“Kedua-dua mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal Honda Vario yang datang dari arah Kangar bagaimanapun tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian belakang lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati laluan berkenaan adalah sebuah jalan lurus dan mempunyai garisan berkembar.

“Malah, siasatan selanjutnya turut mendapati pemandu lori berusia 67 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah namun hasil ujian saringan awal air kencing pemandu lori itu bagaimanapun didapati negatif.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah Kangar bagi urusan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori itu bagaimanapun tidak ditahan reman berikutan faktor usia serta didapati mempunyai masalah kesihatan dan pendengaran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Mohd Shokri berkata, saksi kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor P Povandran di talian 019-4702312 bagi membantu siasatan.

The post Pasangan suami isteri maut rempuh lori buat pusingan U first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments