
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan sokongan baginda terhadap Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebagai langkah menangani impak COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Samsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada komitmen kerajaan dan pelaksanaan pelan bernilai RM35 bilion itu.
Katanya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan pelaksanaan PENJANA dilakukan dengan teliti dan dipantau secara menyeluruh supaya semua kumpulan sasar menerima manfaat, membolehkan objektif membantu rakyat serta merancakkan ekonomi tercapai.
"Kerajaan perlu dengan segera dan berkesan menangani impak wabak COVID-19 kepada ekonomi negara, khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat"
"Baginda amat prihatin terhadap kelangsungan hidup perniagaan serta rakyat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan nasib pekerja yang terkesan akibat impak wabak ini kepada ekonomi negara," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Kerajaan semalam, mengumumkan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dikenali PENJANA bagi menangani kesan wabak COVID-19 terhadap rakyat dan negara.
Pelan merangkumi 40 inisiatif dengan tema 'Bersama Menjana Ekonomi' itu bermatlamat Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi.
Ahmad Fadhil berkata, Al-Sultan Abdullah menyifatkan PENJANA sebagai pelan menyeluruh, selain mengambil kira keluhan, keperluan dan kebajikan pelbagai lapisan masyarakat, industri dan perniagaan.
"Baginda menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan secara inklusif ini akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi jangka pendek serta mempertingkatkan keyakinan serta sentimen rakyat, perniagaan dan pelabur asing"
"Rakyat disarankan untuk meneliti dan mengambil tahu serta bertindak dengan bijak bagi memanfaatkan inisiatif diumumkan"
"Rakyat turut disarankan untuk tidak memilih pekerjaan dan merebut peluang yang ada walaupun di dalam bidang dilakukan pekerja asing, sekali gus boleh mengurangkan kebergantungan kepada golongan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan semua agensi berkaitan, khususnya petugas barisan hadapan atas pengorbanan dan komitmen dalam merawat serta memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.
"Rakyat diseru terus bersabar dan berdisiplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baharu dan mematuhi semua perintah dikeluarkan kerajaan. Disiplin rakyat adalah kunci utama menentukan kemenangan negara memutuskan rantaian penularan COVID-19"
"Al-Sultan Abdullah turut menangguhkan semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang dirancang diadakan bulan ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat bagi mengekang COVID-19"
"Sebaliknya, Baginda mengajak rakyat untuk bersama berdoa agar Malaysia terus dilindungi dan dirahmati supaya wabak ini dapat diakhiri segera," katanya.
Sumber : Agong sokong pelan PENJANA
0 Comments