Besi penahan dipasang sepanjang 100 meter - Zuraida

KUALA LUMPUR: Besi penahan tanah akan ditanam sepanjang 100 meter di lokasi tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini selepas didapati berlaku pergerakan tanah di kawasan berhampiran.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin, berkata perancangan awal hanya membabitkan 70 meter iaitu merangkumi tujuh kediaman yang terjejas secara langsung oleh kejadian tanah runtuh itu.

"Alhamdulillah, seminggu lalu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Bahagian Cerun dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah memulakan kerja.

"Sekarang kita mula nampak kerja-kerja menanam penahan dinding besi untuk pastikan tiada pergerakan tanah berlaku selepas ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Zuraida yang ditemui selepas melakukan tinjauan di kawasan terjejas berkata pihaknya telah mengarahkan MPAJ melakukan pemantauan di kawasan itu dua kali sehari bagi membolehkan tindakan segera diambil jika berlaku sesuatu tidak diingini.

Tinjauan BERNAMA mendapati kerja menanam besi penahan terbabit masih berlangsung.

Dalam kejadian 30 Mei lalu, tujuh rumah teres dua tingkat di Jalan Kelab Ukay 4, taman perumahan berkenaan terjejas oleh kejadian tanah runtuh di bahagian belakang kediaman terbabit menyebabkan 32 orang daripada enam keluarga diarah meninggalkan rumah masing-masing. - BERNAMA



Sumber : Besi penahan dipasang sepanjang 100 meter - Zuraida

Post a Comment

0 Comments