Aidil Shahrin kembali bimbing Lang Merah

ALOR SETAR: Pasukan Kedah kini kembali mendapat sentuhan Aidil Sharin Sahak apabila pengendali itu kembali membimbing barisan Lang Merah di Stadium Darul Aman, petang tadi.

Menurutnya, kehadirannya di Stadium Darul Aman membangkitkan semula semangat serta motivasinya selepas lebih tiga bulan tidak bersemuka dengan pemain sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan, 18 Mac lalu.

"Alhamdulillah, latihan hari ini berjalan dengan lancar dan teratur dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam latihan yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Lebih tiga bulan saya 'berehat' dan kini tiba masanya untuk kembali berlatih sebagai persiapan menghadapi Liga Super yang dijangka bermula sekitar September ini atau lebih awal.

"Saya gembira dan lega kerana kelulusan daripada (MFL) untuk menjalani tugas sudah diperoleh sekali gus mengakhiri penantian saya sejak Mac lalu untuk turun semula ke padang," katanya.

Aidil Sharin berkata, beliau turut berpuas hati dengan segala proses sebelum, semasa dan selepas latihan yang diurus dengan baik dengan ketetapan SOP oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

"Saya harap semua pemain dapat memanfaatkan sepenuhnya latihan dengan SOP yang ditetapkan ini dalam usaha memastikan prestasi mereka dapat ditingkatkan lagi melalui latihan di padang," katanya.



Sumber : Aidil Shahrin kembali bimbing Lang Merah

Post a Comment

0 Comments