Siasatan kes Adib dijangka selesai sedikit masa lagi – Polis

KUALA LUMPUR: Polis dalam proses menyiapkan siasatan berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata pihaknya kini sedang mengambil tindakan seperti mana arahan dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita akan dapat lengkapkan siasatan dan menyelesaikannya dalam masa terdekat seperti yang diarahkan.

“Kita akan hantar IP (kertas siasatan) dan bincang dengan Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata tumpuan polis pada masa ini adalah untuk melengkapkan siasatan secepat mungkin.

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham kemudian disahkan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari menjalani rawatan di Institut Jantung Negara di ibu negara.

Mengulas mengenai kes Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang disiasat mengikut Akta Hasutan 1948, Huzir berkata polis akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara apabila ia sudah lengkap.

“Kita sudah rakam keterangannya. Kertas siasatan akan dilengkapkan dan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya,” kata Huzir.

Hannah Yeoh yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan pada 23 Jun lalu.

Beliau disiasat berikutan kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial mempunyai kecenderungan menghasut dan mengganggu gugat ketenteraman awam.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments