BANGI – Lucutkan sahaja kewarganegaraan puak ultra kiasu yang sengaja menghina Jata Negara menerusi penerbitan buku kontroversi, Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia’, tegas pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.
Beliau berkata, hanya tindakan itu sahaja akan mengajar dan memastikan insiden sama tidak berulang kerana perbuatan mereka lebih hina daripada menterbalikkan bendera kebangsaan.
Bukan itu sahaja, tindakan mesti dikenakan juga terhadap semua pihak yang terbabit dengan penerbitan buku berkenaan termasuk penerbit, editor, penulis dan pencetak.
“Semua yang terlibat sudah terkenal dengan sifat ultra kiasu mereka, sejak mula mereka menulis dalam beberapa laman web ultra kiasu.
“Saya tidak boleh bayangkan semua ultra kiasu ini, setelah bergenerasi tinggal di bumi bertuah, menghirup udara dan mengaut segala keuntungan hasil masyul negara ini sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini.
“Jika di negara komunis sudah lama, mereka ini hilang entah ke mana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, buku suntingan penulis, Kean Wong tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.
Selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan polis menyiasat, penerbitnya tampil memohon maaf dan mendakwa kononnya tiada niat untuk menghina lambang negara itu.
Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin mendakwa, imej pada kulit buku itu berasal daripada sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya diatur antara pelukis dan pengarang buku terbabit.
Menyelar kenyataan itu, Ridhuan Tee berkata, apa juga alasan yang diberikan untuk menindakkan kaitan dengan Jata Negara langsung tidak boleh diterima kerana menganggap ia sememangnya perbuatan yang disengajakan.
“Membela dan menyimpan ultra kiasu ini termasuk parti politik mereka ibarat menyimpan pengkhianat yang sentiasa akan mencari peluang untuk membocorkan segala kelemahan negara kepada musuh-musuh.
“Percayalah, jika tindakan keras tidak dikenakan, pasti akan berulang. Paling kurang, mereka ini patut dilucutkan kewarganegaraannya dan tidak layak tinggal di bumi bertuah ini,” katanya.
via Wowberita
0 Comments