Bayaran balik GST tertangguh dipercepatkan - MoF

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan, melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memastikan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tertangguh dapat dibuat dalam masa terdekat.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata JKDM sudah diarahkan untuk mempercepatkan proses bayaran balik GST yang tertangguh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, sepanjang dalam tempoh itu audit syarikat tidak dapat dibuat.

"Kementerian bersetuju untuk JKDM melaksanakan kaedah bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dan juga kriteria tertentu.

"Kerajaan berharap keputusan ini dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan di dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini.

"Usaha ini selaras dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diperkenalkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pembayaran balik GST akan dibuat mulai 22 Jun ini dan pembayaran kepada semua

penuntut dijangka akan selesai dibuat selewat-lewatnya pada akhir Disember 2020.



Sumber : Bayaran balik GST tertangguh dipercepatkan - MoF

Post a Comment

0 Comments