'Nak pegang tangan mak'

DUNGUN: "Saya nak pegang tangan mak".

Itu bisikan seorang pesakit barah, Kartina Muda sebaik dibawa bertemu ibunya, Mek Mamat yang tinggal di Jalan Batu 48, Dungun hari ini.

Kesihatan Kartina, 52, yang menghidap barah otak tahap empat semakin merosot kebelakangan ini dan tidak dapat lagi membendung kerinduan kepada ibunya selepas kira-kira tiga bulan tidak bertemu.

Sebaik memegang tangan wanita berusia 95 tahun itu, kelihatan air mata Kartina berguguran kerana dapat meluangkan masa kira-kira dua jam bersama ibunya yang juga terlantar akibat serangan strok sejak lima tahun lalu.

Suami Kartina, Zainuddin Sulaiman, 58, berkata isterinya mengikutnya menetap di Rumah Murah Kampung Tuk Randok di Ajil di Kuala Berang selepas mereka berkahwin.

"Isteri sangat sayang dengan ibunya dan sebelum ini memang setiap minggu kami akan pulang ke Dungun melawatnya. Bagaimanapun, dua beranak itu tidak bertemu selepas kesihatan isteri saya mula merosot sejak Mac lalu," katanya.

Katanya, Kartina adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik, pernah disahkan menghidap kanser usus pada 2017, tetapi pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan.

Bagaimanapun pada 18 Mac lalu, Zainuddin berkata, isterinya mengadu sakit kepala lalu dibawa menjalani pemeriksaan sebelum dimaklumkan terdapat ketumbuhan dalam kepalanya.

"Doktor sahkan dia mengidap kanser otak dan sejak itu dia sering mengadu kepalanya sangat sakit terutama pada waktu malam," katanya mengakui sangat sedih dan sering menangis apabila melihat keadaan isterinya setiap kali penyakit itu menyerang.

"Sejak itu, kesihatan isteri mulai merosot dan badannya menjadi kurus, tidak boleh bangun dan berjalan serta sudah tidak lalu makan walaupun cuba dipujuk," katanya.

Beberapa hari lalu, katanya, Kartina ada memberitahu mahu bertemu ibunya kerana sudah tiga bulan tidak pulang ke kampung.

"Pada mulanya bimbang untuk bawa dia dengan kereta kerana keadaannya sangat uzur. Syukur apabila Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rasol Wahid membantu mendapatkan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk kami ke Dungun," katanya.

Pesakit kanser, Kartina Muda dibantu petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM) memegang tangan ibunya, Mek Mamat, sebaik mereka bertemu di Jalan Batu 48, Dungun, hari ini. - Foto ROSLI ILHAM
Pesakit kanser, Kartina Muda dibantu petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM) memegang tangan ibunya, Mek Mamat, sebaik mereka bertemu di Jalan Batu 48, Dungun, hari ini. - Foto ROSLI ILHAM

Sementara itu, Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata beliau membantu mendapatkan ambulans APM untuk merealisasikan hajat Kartina bertemu ibunya.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga menyampaikan bantuan kerusi roda, katil boleh laras serta lampin pakai buang selain sumbangan peribadi untuk kegunaan Kartina dan meringankan bebanan suaminya.

"Hati saya tersentuh apabila dimaklumkan mengenai keadaan Kartina yang kini terlantar dan berusaha menunaikan hajatnya untuk bertemu ibu tersayang yang turut keuzuran kerana masalah strok.

"Alhamdulillah, syukur akhirnya hajat Kartina untuk bertemu ibunya tercapai. Kita simpati dengan keadaan dua beranak itu dan mendoakan mereka segera sembuh serta kembali sihat," katanya.



Sumber : 'Nak pegang tangan mak'

Post a Comment

0 Comments