
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hanya melaksanakan ujian saringan COVID-19 terhadap individu yang memenuhi salah satu kriteria ditetapkan kementerian itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga kriteria ditetapkan pihaknya sebelum boleh menjalankan ujian saringan, iaitu individu dalam siasatan (PUI), individu baru pulang dari luar negara dan kontak rapat yang terdedah dengan individu positif COVID-19.
Beliau menjelaskan, pihak kementerian tidak akan menjalankan ujian saringan COVID-19 secara percuma untuk orang ramai, dan mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu perlu melalui klinik atau hospital swasta.
"Kita hanya melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas individu yang ada salah satu kriteria terbabit, dan tidak memberi percuma kepada semua orang. Jika kita melakukan perkara itu, sudah tentu semua akan datang untuk menjalani ujian berkenaan.
"Individu yang tidak termasuk dalam kriteria itu boleh menjalani ujian saringan di makmal swasta. Kita menggalakkan mereka melakukan perkara itu, namun bukan bawah Kementerian Kesihatan," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, ada pengurangan kajian sampel diterima pihaknya kerana makmal swasta tidak menghantar kes negatif kepada pihak kementerian.
"Jika dilihat semalam dan kelmarin, ada pengurangan kes. Ini kerana makmal swasta tidak menghantar kes negatif kepada kementerian. Mereka (makmal swasta) hanya memaklumkan kes positif kepada kementerian.
"Dari segi makmal bawah kementerian, kita sudah ada 53 makmal berbanding hanya 23 sebelum ini. Keupayaan makmal juga telah meningkat dan mampu menjalankan hampir 35,000 kes ujian secara harian," katanya.
Sumber : COVID-19: 3 kriteria ujian saringan bawah KKM
0 Comments