'Boleh berlakon, SOP mesti betul'

KUALA LUMPUR: Dikategorikan golongan berisiko tinggi jika terdedah dengan persekitaran atau individu memiliki simptom COVID-19 di lokasi penggambaran, pelakon veteran berharap syarikat produksi mengamalkan langkah keselamatan tahap tertinggi.

Sedia beraksi demi sesuap nasi selepas kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran disambung mulai Rabu ini, artis senior mahu syarikat produksi melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak kemungkinan buruk.

Menyambut baik kelonggaran diberi kerajaan, pelakon serba boleh, Fauziah Nawi bagaimanapun mengingatkan diri dan rakan seangkatan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan.

"Sebenarnya, kalau hendak diikutkan, kami sudah lama mengamalkan SOP seperti tidak bersentuhan atau penjarakan sosial.

"Drama yang diterbitkan sekarang banyak yang sudah meminimumkan babak bersentuhan. Kalau ada pun, biasanya berlapik.

"Apabila giliran babak belum tiba, kebanyakan pelakon duduk dalam kereta menunggu adegan yang hendak dilakonkan. Agak jarang kita berkumpul ramai-ramai kecuali jika tiba waktu makan.

"Dalam hal ini, apa yang penting adalah disiplin diri. Kita kena jaga kebersihan. Kalau kita tak sihat, kena maklumkan kepada produksi atau pakai topeng muka.

"Kita kena sentiasa bersiap sedia. Jangan sampai kita yang terkena atau menjadi pembawa virus itu," katanya kepada BH Online.

Menurut pelakon air mata ini, dia yakin syarikat produksi mampu melaksanakan SOP ditetapkan serta menjaga keselamatan dan kesihatan warga kerja demi periuk nasi masing-masing.

"Sudah lama pelakon menantikan saat ini. Diakui, apabila PKP dilaksanakan dan aktiviti penggambaran dihentikan, banyak tawaran kerja hilang begitu sahaja.

"Jadi saya harap dengan kelonggaran yang diberi, produksi dapat memanfaatkan peluang sebaik mungkin.

"Patuhilah SOP yang ditetapkan supaya kebenaran yang diberi tidak ditarik balik," katanya.

Bagi pelakon Kismah Johar, keputusan untuk kembali ke set penggambaran menimbulkan kerisauan kepada anak-anak.

Menurut pelakon berusia 68 tahun ini, mereka berkali-kali meminta kepastian apakah dirinya sudah bersedia biarpun tahu berdepan risiko dijangkiti wabak berkenaan.

"Dalam hal ini, saya hanya bertawakal kepada Allah. Kalau sudah ditakdirkan terkena jangkitan, di mana pun kita pergi pasti akan berlaku.

"Jadi selain menjaga kebersihan diri, kita pakai pelindung muka, kerap mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan amalkan penjarakan sosial.

"Kita juga berdoa semoga dijauhkan daripada segala penyakit bahaya, Insya-Allah semuanya baik-baik sahaja.

"Anak-anak saya yang paling risau. Berat hati mereka hendak melepaskan saya pergi bekerja dalam keadaan seperti ini.

"Tapi sebab mereka tahu saya minat berlakon, jadi mereka tak boleh nak cakap apa-apa. Cuma nasihat mereka, saya kena ambil langkah keselamatan dan jaga diri baik-baik," katanya yang akan kembali ke set penggambaran, tidak lama lagi.

Melihat kelonggaran yang diberi kerajaan dalam sudut yang lebih luas, pelakon yang popular dengan drama Korban Kasih, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, percaya SOP ditetapkan mampu menjamin keselamatan dan kesihatan warga kerja.

Ini memberi keyakinan kepada Ahmad Tarmimi untuk kembali menjalani penggambaran.

"Saya ada baki dua hari penggambaran sebuah drama selepas kerja terhenti pertengahan Mac lalu.

"Jika ditanya, saya tidaklah risau kerana selain tahu tahap kesihatan, saya yakin produksi akan mengambil langkah berjaga-jaga memastikan keselamatan dan kesihatan kami terkawal.

"Apabila SOP diperkenalkan seperti menjaga jarak, tiada babak bersentuhan dan mengehadkan bilangan petugas di set, saya rasa itu akan membawa anjakan paradigma dalam dunia perfileman," katanya.

Ahmad Tarmimi percaya syarikat produksi menjadi lebih kreatif apabila perlu mencari alternatif lokasi penggambaran jika ada pemilik rumah keberatan menyewakan kediaman mereka sebagai lokasi penggambaran.

"Jurukamera juga kena lebih kreatif mencari sudut supaya orang yang berada dalam kedudukan jauh tampak rapat.

"Daripada segi solekan, mungkin selepas ini, kita tidak perlu mengambil masa lama untuk ditatarias.

"Tiadalah lagi kita lihat watak pergi sawah pakai bulu mata palsu atau hendak solat dengan mekap tebal.

"Ini akan menjadi normal baharu dalam penerbitan drama tempatan dan produk lebih realistik. Saya percaya penonton akan suka dengan drama seperti ini," katanya.



Sumber : 'Boleh berlakon, SOP mesti betul'

Post a Comment

0 Comments