
MADRID: Pemburuan kejuaraan Barcelona terbantut apabila diikat Celta Vigo 2-2, sekali gus memberikan peluang buat Real Madrid untuk memintas mereka dengan kelebihan dua mata di puncak La Liga.
Luis Suarez dua kali meletakkan pasukannya di depan di Balaidos dengan gol pertamanya sejak Januari, tetapi Fedor Smolov dan Iago Aspas menyamakan kedudukan untuk Celta mencuri satu mata.
Barca berdepan ujian lebih sukar pada Selasa menentang Atletico Madrid, yang menewaskan Alaves 2-1 di Wanda Metropolitano.
Atletico kini di tangga ketiga liga, empat mata mengatasi Sevilla.
"Ia perasaan yang negatif. Jika kami mahu kekal dalam perebutan gelaran dan meletakkannya dalam genggaman kami, kami perlu menang semua perlawanan. Tetapi kini kami perlu mengharapkan Madrid tercicir mata," kata Suarez.
Suarez mempersembahkan aksi terbaiknya sejak menjalani pembedahan lutut pada Januari, dan membuka jaringan hasil sepakan percuma mengejutkan Lionel Messi - di mana dia membuat hantaran ketika orang menjangkakan dia akan cuba menjaringkan gol.
Celta terlepas peluang meledak gol kemenangan dalam masa kecederaan menerusi Nolito apabila percubaannya tersasar. - AFP
Sumber : Celta calar harapan Barca
0 Comments