CIMB lanjutkan program bantuan COVID-19

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd melanjutkan program bantuan COVID-19 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan lebih besar, bagi menyokong usaha kerajaan membantu perniagaan dalam tempoh sukar.

Kumpulan perbankan itu bekerjasama dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Danajamin Nasional Bhd (Danajamin) masing-masing dalam Skim Jaminan Kerajaan COVID-19 SJPP serta Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin.

Ia adalah sokongan kepada bantuan yang diumumkan CIMB bagi membantu PKS terjejas menerusi Kemudahan Bantuan Khas Bank Negara (SRF), diumumkan pada awal penularan wabak berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Victor Lee Meng

Teck, berkata kumpulan menawarkan sokongan berkenaan kerana memahami kesukaran yang dialami perniagaan ketika ini.

Beliau berkata, seperti diumumkan SJPP dan Danajamin, sebanyak RM56 billon diperuntukkan untuk PKS dan perniagaan berskala besar bagi membantu aspek kecairan dalam perniagaan.

Katanya, usaha itu membolehkan perniagaan untuk kekal berdaya saing ketika jangka masa yang paling mencabar ini dan pada masa sama membantu penyesuaian syarikat kepada normal baharu.

"Dengan jaringan yang meluas di seluruh negara, kami berharap untuk membantu lebih banyak perniagaan yang terjejas akibat pandemik ini.

"Selepas keberkesanan bantuan SRF terdahulu, kami yakin bahawa bantuan tambahan ini akan mengurangkan tekanan kewangan kepada syarikat terbabit, sekali gus membantu pemulihan operasi perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.

GGS Prihatin terbuka kepada PKS yang memerlukan pembiayaan modal berbayar dan perbelanjaan modal antara RM75,000 sehingga RM20 juta.

SJPP menyediakan perlindungan jaminan sehingga 80 peratus, sehingga 10 tahun.

Permohonan dibuka sehingga 31 Disember depan atau sehingga had skim RM6 bilion habis digunakan.

Semua PKS di Malaysia layak untuk menyertai skim ini.

Dalam pada itu, CIMB menawarkan kemudahan pembiayaan minimum RM20 juta kepada perniagaan berskala besar yang berdaftar dan berpangkalan di negara ini di samping DPGS menawarkan perlindungan jaminan sehingga 80 peratus untuk kemudahan ini.

Tempoh perlindungan adalah sehingga lima tahun dan permohonan terbuka sehingga 31 Disember depan, atau sehingga jumlah had RM50 bilion habis digunakan.



Sumber : CIMB lanjutkan program bantuan COVID-19

Post a Comment

0 Comments