800 jemaah dibenarkan solat di Masjid Nurul Iman

KLUANG: Seramai kira-kira 800 individu dibenarkan menunaikan sembahyang Jumaat dan fardu di Masjid Nurul Iman, Taman Sri Lambak, di sini, apabila semua ruang solat dibuka untuk kegunaan bersembahyang.

Bagaimana pun, semua jemaah perlu datang lebih awal untuk diambil bacaan suhu badan dan pendaftaran selain menggunakan pelitup muka serta membawa sejadah sendiri setiap kali mahu menunaikan solat.

Pengerusi Masjid Nurul Iman, Mohidin Paidi berkata, sebelum penularan wabak COVID 19, masjid itu yang mendapat pengiktirafan empat bintang itu mampu menempatkan kira-kira 2,500 jemaah pada satu-satu masa.

Beliau berkata, menerusi kebenaran menempatkan satu pertiga daripada jumlah sebelum ini, seramai kira-kira 800 jemaah dibenarkan namun mereka yang hadir perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengambil wuduk di rumah masing-masing.

"Alhamdulilah, walaupun ianya tidak dapat menampung keseluruhan kehadiran penduduk di taman ini terutama ketika solat Jumaat namun ianya sudah mampu mengimarahkan semula masjid ini yang hanya dihadiri tiga orang jemaah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Bagaimanapun, semua jemaah diingatkan tidak bersalaman di antara mereka dan terus pulang kediaman masing-masing sebaik selesai menunaikan solat," katanya ketika memantau pelaksanaan SOP ke atas jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini hari ini.

Selain itu, Mohidin berkata, pengurusan masjid itu juga berharap penduduk di taman berkenaan dapat hadir seperti biasa sebelum ini untuk sama-sama berjemaah sewaktu solat fardu lima waktu.

"Sama-sama kita berdoa supaya penularan wabak COVID-19 ini dapat diputuskan sepenuhnya dan kita boleh kembali hidup dalam keadaan biasa seperti sebelum ini," katanya.



Sumber : 800 jemaah dibenarkan solat di Masjid Nurul Iman

Post a Comment

0 Comments