Mat Sabu derma RM1,000 kepada KAFA

KUALA LUMPUR: Bekas penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Mohamad Sabu menunjukkan keprihatinannya terhadap masalah yang sedang dihadapi badan induk itu apabila turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

KAFA menerusi satu kenyataannya hari ini berkata, Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menyerahkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada persatuan itu, semalam.

"Sumbangan diterima oleh Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan KAFA mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat (YB).

"KAFA mengalu-alukan mana-mana YB atau ahli politik tidak kira apa jua fahaman turut membantu KAFA atas kepentingan sukan nombor satu rakyat Kelantan," katanya.

Sebagai rekod, KAFA melantik Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan sebagai penasihat badan induk bola sepak Kelantan itu pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menarik diri selepas dua bulan beliau dilantik.

Ketika ini, KAFA menanggung beban hutang kira kira RM5 juta membabitkan tunggakan gaji bekas pemain tempatan dan juga bekas pemain importnya.

Tuntutan bekas pemain import yang perlu dilunaskan mereka adalah Francisco Cassio de Jesus berjumlah RM629,620.28 dan Bruno Lopez yang berjumlah RM141,103.60 serta Alaeddine Bouslimi (RM157,380).

Malah, KAFA turut menjangkakan lapan lagi kes tuntutan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan dikemukakan kepada mereka termasuk tuntutan bekas jurulatih.



Sumber : Mat Sabu derma RM1,000 kepada KAFA

Post a Comment

0 Comments