COVID-19 bakal mengubah, tapi tak menterbalikkan dunia

PANDEMIK COVID-19 seperti epidemik dan peperangan sebelum ini, akan memberikan ilham kepada novelis.

Novelis Lubnan, Jabbour Douaihy, berkata pengarang besar menghasilkan karya mengenai pandemik sebelum ini dan menggunakannya sebagai simbol.

Douaihy yang dua kali disenarai pendek untuk anugerah berprestij, Hadiah Fiksyen Arab Antarabangsa (IPAF) kepada AFP dalam wawancara siri World Redrawn.

Beliau berkata, coronavirus baharu itu akan menjadi sebahagian latar sastera dan imaginasi kemanusiaan seperti peperangan, wabak dan pandemik lain dalam sejarah.

Ketika virus itu akan mengubah tingkah-laku manusia, beliau tidak menjangkakan ia akan menterbalikkan cara hidup kita.

Pengarang berusia 71 tahun dengan ijazah doktor falsafah dalam sastera bandingan dari Sorbonne itu berada di Ehden yang terletak di utara Tripoli, iaitu antara kota yang menjalani perintah berkurung.

Douaihy membandingkan serangan COVID-19 dengan pengalamannya melalui perang saudara di Lubnan 1975-1990.

"Saya tidak fikir karya mengangkat perang di Lubnan sudah terhenti dan tiada apa-apa lagi untuk ditulis dalam bentuk sastera," katanya.

Bercakap melalui sidang video, Douaihy berkata, bagaimanapun beliau mengelak daripada menulis mengenai period ini buat masa ini.

"Menulis novel mengambil masa - kita tidak boleh menulis sesuatu peristiwa yang masih berlaku," katanya.

Namun buat sementara waktu, kata Douaihy, pandemik COVID-19 akan mula memberikan inspirasi sastera.

Beliau memetik naskhah drama, Rhinoceros, karya dramatis Perancis-Romania, Eugene Ionesco yang menggunakan kisah fiksyen pandemik untuk mengkritik regim politik.

Albert Camus menggunakan novelnya, The Plague yang diterbitkan pada 1947 berlatarbelakangkan kota Oran, Algeria untuk menyimpulkan falsafahnya mengenai kenihilan.

"Pandemik COVID-19 akan meninggalkan parut dan kesan dalam pemikiran dalam konteks cara kita berfikir dan khususnya imaginasi," katanya.

Douaihy yang novelnya, June Rain disenarai pendek IPAF 2008 yang turut dikenali sebagai Hadiah Booker Arab, mencatat nama sekali lagi apabila disenarai pendek empat tahun kemudian lewat The Vagrant.

Douaihy berkata, beliau tidak terganggu dengan langkah ketat perintah berkurung di Lubnan, meskipun mengakui sukar menyesuaikannya pada awal dan memberikan tumpuan dengan membaca serta menulis.

Douaihy menegaskan beliau tidak menjangkakan perubahan fundamental dalam politik, masyarakat dan ekonomi dunia dengan pandemik semakin reda.

"Memang kita selalu mengatakan suasana akan berbeza selepas sesuatu krisis tetapi saya tidak pasti tingkah-laku manusia akan berubah secara drastik.

"Saya cenderung kepada pandangan manusia akan dapat mengatasi pandemik ini dan terus memusnahkan alam sekitar - meskipun saya menjangkakan akan melihat kemunculan gerakan ekologi.

"Keprihatinan terhadap alam sekitar akan meningkat. Ia akan menjadi lebih jelas bahawa kita perlu kembali kepada pertanian organik yang betul," katanya.

Douaihy menjangkakan perubahan kepada ekonomi mampu diri dan kebangsaan.

Kebergantungan kepada pembelajaran dan pendidikan jarak jauh juga meningkat, memberikan kesan kepada komunikasi global serta globalisasi.

"Namun 'trend kepenggunaan melampau akan kekal dan individualisme semakin kuat," katanya.

Pengarang itu mengumpamakan penutupan sempadan negara sebagai manusia mengasingkan diri di rumah.

"Kita kembali ke kediaman masing-masing seperti melarikan diri daripada virus. Negara juga berbuat demikian apabila menutup pintu masuk.

"Hal ini membayangkan pengenduran prinsip yang selama ini cuba dipromosikan seperti kebebasan bergerak.

"Bagaimanapun ketika coronavirus menghentikan pergerakan antara negara, ia masih terlalu awal menyimpulkan hal itu," katanya.

Beliau berkata, meskipun dunia Arab tidak seteruk di Eropah dan Amerika Syarikat, rantau itu masih berdepan krisis mereka.

"Meskipun pandemik ini berlaku, kita masih menghadapi konflik biasa yang seolah-olah tiada apa-apa berlaku," katanya.



Sumber : COVID-19 bakal mengubah, tapi tak menterbalikkan dunia

Post a Comment

0 Comments