
KUALA LUMPUR: Genap usia 63 tahun hari ini, penyanyi, Jay Jay, berkongsi rahsia penjagaan untuk mengekalkan kesihatan yang baik.
Cuma, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus berkata, dia mengamalkan cara pemakanan sederhana.
"Dalam apa sahaja yang dinikmati, biarlah bersederhana. Itulah prinsip saya, makan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan.
"Selain itu, tiada penjagaan yang khusus. Bagaimanapun, sebagai penyanyi, saya menjaga vokal dengan tidak merokok dan jarang mengambil minuman berais.
"Saya hanya minuman berais pada masa tertentu seperti majlis, sebab tak boleh elak. Jika tidak, saya jarang menyentuhnya," katanya kepada BH Online.
Jay Jay yang juga vokalis kumpulan Carefree pernah popular sekitar tahun 1970-an. Beliau popular menerusi lagu hit seperti Rindu Bayangan, Belaian Jiwa dan Baju Hijau.
Masih aktif menyanyi, Jay Jay berkata, dia tidak mempunyai rahsia untuk kekal relevan dalam industri muzik. Bagaimanapun, kongsinya, lagu-lagu malar segar membuatkan dirinya terus diingati.
"Bukan saya sahaja, malah apa yang membuatkan penyanyi seluruh dunia masih bertahan dan diingati adalah kerana lagu nyanyian.
"Orang kenal saya pun disebabkan lagu, jadi jika hebat macam mana pun vokal, tanpa lagu yang baik, tiada gunanya.
Selagi peminat dengar lagu, mereka akan terus kenang pelantun lagu itu.
"Alhamdulillah, rezeki saya diberikan lagu-lagu yang baik. Saya masih berkarya pun disebabkan peminat masih mengingati lagu-lagu saya," kata bapa kepada empat cahaya mata dan empat cucu itu.
Jay Jay berkata, banyak persembahannya dibatal dan ditunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Antaranya, konsert sempena Aidilfitri di Dewan Filharmonik Petronas pada pertengahan bulan ini.
Tidak mengeluh, sebalik Jay Jay akur kerana bukan hanya dirinya, tetapi seluruh dunia terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.
"Saya berdoa dan berharap COVID-19 tidak berlarutan dalam tempoh yang lama dan berakhir segera, insya-Allah," katanya.
Menyentuh sambutan Aidilfitri, Jay Jay berkata, dia meraikan Syawal bersama anak dan cucu di ibu kota.
"Inilah kali kedua saya tidak dapat meraikan lebaran bersama keluarga di Singapura. Kali ini, terpaksa mengikut
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang merentas negeri dan negara," katanya.
Sumber : Tak makan berlebihan petua Jay Jay sihat
0 Comments