
SAO PAULO: Ujian vaksin COVID-19 yang dibangunkan di University of Oxford akan diuji mulai pertengahan Jun di Brazil, negara pertama di luar Britain yang mengambil bahagian dalam kajian itu, kata penyelidik semalam.
Vaksin akan diuji di Brazil terhadap 2,000 sukarelawan, yang akan direkrut mulai minggu ini, kata Federal University of Sao Paulo, yang sedang menyelaraskan kajian itu.
Sukarelawan 'mestilah profesional kesihatan berusia antara 18 dan 55 tahun dan berisiko tinggi mendapat jangkitan, misalnya kakitangan pembersihan dan sokongan di unit yang merawat pesakit COVID-19," kata presiden universiti Brazil itu, Soraya Smaili, kepada AFP.
Menguji vaksin di Brazil "sangat penting kerana kami berada dalam fasa peningkatan pantas keluk epidemiologi," tambahnya.
Brazil adalah pusat terbaru dalam wabak COVID-19.
Negara yang berpenduduk 210 juta orang itu kini berada di kedudukan kedua selepas Amerika Syarikat (AS) dalam jumlah kes, dengan lebih dari 555,000 dijangkiti dan telah mencatatkan lebih dari 31,000 kematian, jumlah korban keempat tertinggi di dunia, selepas AS, Britain dan Itali.
Pakar berkata, jumlah ujian yang kurang bermakna jumlah sebenar kes COVID-19 di negara itu mungkin jauh lebih tinggi.
Ujian untuk vaksin itu dijadual bermula di Brazil pada minggu kedua bulan Jun dan dikembangkan ke negara-negara lain selepas itu, kata universiti itu.
"Hasilnya akan menjadi dasar untuk kelulusan vaksin itu di United Kingdom, yang dijangkakan akhir tahun ini," tambahnya.
Oxford bekerjasama dengan kumpulan farmasi Britain, AstraZeneca untuk mengembang dan menyebarkan vaksin, satu daripada beberapa yang diuji oleh penyelidik di seluruh dunia. - AFP
Sumber : COVID-19: Brazil bantu uji vaksin dibangunkan University of Oxford
0 Comments