
KUALA LUMPUR: Majikan perlu memainkan peranan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi, selain bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan warga asing.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pelbagai SOP dibangunkan untuk setiap sektor, memandangkan Malaysia kini memasuki fasa pemulihan daripada pandemik wabak berkenaan.
"KKM ingin memaklumkan seramai 60,298 orang bukan warganegara Malaysia disaring sehingga semalam dan daripada jumlah itu, 2,575 kes atau 4.3 peratus dikesan positif jangkitan COVID-19.
"Sebanyak 57,441 kes atau 95.3 peratus pula adalah negatif dan 282 kes (0.4 peratus) masih menunggu keputusan.
"Bagi kes positif di kalangan bukan warganegara Malaysia, seramai 105 kes (4.1 peratus) masih dalam rawatan, 2,465 kes (95.7 peratus) yang pulih dan dibenarkan pulang, manakala jumlah kes kematian COVID-19 adalah sebanyak lima kes (0.2 peratus)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas kebimbangan kes positif dalam kalangan warga asing yang bertali arus, Dr Noor Hisham, berkata KKM mempunyai mekanisme tertentu untuk mengekang penularan jangkitan terhadap rakyat tempatan.
Mengambil contoh kluster Pedas di Negeri Sembilan dan Melaka, beliau berkata, sembilan kes yang dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi adalah daripada saringan ulangan.
"Mereka sememangnya dikuarantinkan kerana terdedah kepada kes positif sebelum ini. Sehingga hari ini, seramai 957 disaring dan setakat ini didapati 326 kes atau 34.1 peratus dikesan positif COVID-19.
"Daripada jumlah itu, seramai 312 kes (95.7 peratus) adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia," katanya.
Sumber : COVID-19: Kerjasama majikan tangani penularan warga asing
0 Comments