KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang untuk meneruskan rawatan dan kajian saintifik menggunakan hydroxychloroquine ke atas pesakit COVID-19.
Ini berikutan ubat yang biasa digunakan untuk merawat malaria itu mengakibatkan komplikasi kesihatan kepada pesakit, selain jumlah pesakit COVID-19 di dalam negara juga sudah berkurangan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini tiada data yang menunjukkan hydroxychloroquine mampu merawat pesakit COVID-19 malah rawatan serupa yang dijalankan KKM sebelum ini juga tidak menunjukkan kesan yang positif.
"Pada peringkat permulaan, kita menggunakan ubat ini kerana ia mempunyai kesan anti radang tetapi apabila kita memperoleh kira-kira 500 data, ia sebenarnya tidak mempunyai kesan positif dalam keberkesanan (merawat COVID-19).
"Jadi kita hentikan penggunaan ubat itu malah kita turut dimaklumkan berlaku sekurang-kurangnya 30 peratus komplikasi kesihatan.
"Jika ada komplikasi ia memerlukan pemantauan yang rapi seperti kesan kepada jantung dan mata," katanya dalam sidang akhbar, di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, setakat ini KKM juga tidak menjalankan kajian saintifik berikutan negara kini kekurangan pesakit COVID-19.
"Setakat ini, kes tidak cukup kerana kes berkurangan. Kadar pesakit COVID-19 yang pulih adalah 95 peratus dan mereka yang meninggal pula hanya 1.4 peratus sahaja.
"Ini adalah angka yang baik dalam rawatan terhadap pesakit. Kita harap dapat mengekalkan situasi ini dan disebabkan itu tindakan kesihatan awam adalah penting untuk mengesan jangkitan di peringkat awal," katanya.
Penggunaan ubat 'off label' hydroxychloroquine menjadi kontroversi di beberapa negara ketika ini dan KKM sebelum ini turut mengesahkan, ia mempunyai beberapa kesan sampingan seperti sakit kepala, kabur penglihatan, otot menjadi lemah serta cirit-birit.
Dalam perkembangan itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM akan melaksanakan kajian baharu berhubung antibodi pesakit COVID-19 yang sudah pulih dalam masa terdekat.
"Kajian ini untuk melihat bagaimana respon antibodi itu kerana mereka (pesakit) ini sembuh setelah dijangkiti. Kita mahu lihat sama ada antibodi ini ada atau tidak pada pesakit ini," katanya.
Menyentuh mengenai pembukaan sempadan Malaysia kepada negara yang berstatus 'Zon Hijau', beliau berkata, ia masih di peringkat awal perbincangan malah KKM perlu melihat prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan setiap negara berkenaan.
"Kita juga perlu melihat trend penularan di negara itu termasuk polisi serta dasar di antara kedua-dua negara berkenaan. Sekiranya dasar itu sehaluan, kita mungkin mendapat kata sepakat," katanya yang turut mengesahkan lebih dari enam negara'Zon Hijau' sedang dikenal pasti ketika ini.
Sumber : COVID-19: KKM henti guna hydroxychloroquine
0 Comments