KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan kajian baharu berhubung antibodi pesakit COVID-19 yang sudah pulih dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat laporan mendakwa antibodi pesakit yang sudah pulih hanya bertahan selama tiga hingga empat bulan sahaja.
Justeru, katanya kajian itu perlu dilakukan untuk melihat kewujudan antibodi dalam pesakit berkenaan.
"Kajian ini untuk melihat bagaimana respon antibodi itu kerana mereka (pesakit) ini sembuh setelah dijangkiti.
"Kita mahu lihat sama ada antibodi ini ada atau tidak pada pesakit ini," katanya dalam sidang akhbar harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
Mengulas komplikasi paru-paru dalam kalangan pesakit COVID-19 yang pulih, Dr Noor Hisham berkata, KKM hanya membenarkan pesakit pulang selepas diperiksa sepenuhnya.
"Dalam 8,587 pesakit kes positif yang menerima rawatan susulan, kita mengenal pasti mereka hanya berada pada peringkat jangkitan satu dan dua sahaja.
"Sekiranya pesakit berada dalam peringkat empat dan lima, mereka akan dipantau sebaiknya iaitu jika berlaku kerosakan (sistem badan), mereka akan dirawat sebelum discaj.
"Ia (pengesanan) dilakukan menerusi rawatan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) atau imbasan X-ray," katanya.
Sumber : KKM kaji respon antibodi bekas pesakit COVID-19
0 Comments