
BEIJING: Jangkitan COVID-19 sudah mencapai 10,108,738 kes termasuk 501,868 kematian manakala 5,480,877 pesakit disahkan sembuh di seluruh dunia setakat hari ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam tempoh tujuh bulan ini, wabak yang menyerang saluran pernafasan itu dikesan meningkat dua kali ganda berbanding wabak influenza teruk yang berlaku setiap tahun.
Peningkatan ketara itu berlaku ketika kebanyakan negara yang teruk terjejas sedang melonggarkan perintah kawalan dan menyesuaikan kehidupan dengan kebiasaan baharu, yang mungkin berlanjutan sehingga vaksin ditemui.
Malah, di beberapa negara yang kini mengalami peningkatan semula kes jangkitan, pihak berkuasa melaksanakan semula perintah larangan, dengan pakar menjangkakan ini akan menjadi amalan biasa mungkin melampaui 2021.
Negara di Amerika Utara, Amerika Latin dan Eropah menyumbangkan 25 peratus kes manakala Asia dan Asia Barat pula masing-masing sebanyak 11 peratus serta sembilan peratus.
Ketika ini, 501,868 kematian akibat COVID-19 adalah lebih kurang sama dengan jumlah kematian akibat influenza setiap tahun.
Kes pertama dikesan pada akhir Disember lalu di Wuhan, China sebelum jangkitan dan kematian meningkat di Eropah disusuli Amerika Syarikat (AS) dan Russia.
Pendemik itu juga dikesan memasuki fasa baharu dengan India dan Brazil turut dilihat bertarung dengan purata 10,000 kes baharu setiap hari sehingga menekan ekonomi, sektor kesihatan dan bekalan sumber mereka.
Dua negara itu menyumbang sebahagian besar kes baharu pada minggu lalu dengan Brazil merekod 54,700 kes baharu pada 19 Jun lalu, malah pengkaji menjangkakan jumlah kematian di Amerika Latin akan melebihi 380,000 menjelang Oktober ini.
Sejak minggu lalu, kadar peningkatan kes baharu COVID-19 adalah antara satu dan dua peratus sehari berbanding 10 peratus pada Mac lalu.
Di negara seperti China, New Zealand dan Australia, dilihat sudah mula berlaku gelombang kedua jangkitan baharu meskipun berjaya mengurangkan jangkitan dalam kalangan masyarakat setempat.
Di Beijing, kes baharu mencecah ratusan selepas dikaitkan dengan kluster pasar Xinfadi dan sekitar 300,000 orang diuji setiap sehari.
AS selaku negara paling terjejas, merekodkan 2,596,771 kes jangkitan termasuk 128,152 kematian setakat hari ini dan dilihat sudah memperlahankan jangkitan virus itu Mei lalu tetapi meningkat kembali sejak beberapa minggu lalu.
Pakar juga berpendapat jumlah kes COVID-19 global yang dilaporkan itu hanya sebilangan kecil kerana banyak negara menghadapi kekangan melakukan ujian pengesanan. - AGENSI
Sumber : COVID-19: Lebih 10 juta dijangkiti, lebih 500,000 maut di seluruh dunia
0 Comments