
KOTA BELUD: Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 278 orang sehingga jam 7 malam ini, berbanding hanya 82 yang dilaporkan pada sebelah pagi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud, Jimmy Alberto Tining, berkata dua lagi PPS dibuka untuk menampung jumlah mangsa dipindahkan, menjadikan empat PPS kini beroperasi.
Beliau berkata, dua PPS itu ialah Dewan Muhibbah di Kampung Tombol dan Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hwa, sebagai tambahan kepada dua sedia ada iaitu di Dewan Masyarakat Tun Said dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi II.
"Sejumlah 32 kampung terjejas setakat ini dengan pemindahan penduduk membabitkan 136 dewasa, 108 kanak-kanak, 18 warga emas, 13 bayi dan tiga orang kurang upaya (OKU).
"Sebahagian jalan dinaiki air sebelum ini sudah surut, namun tiada penduduk dibenarkan pulang kerana kawasan kampung atau rumah mereka masih berbahaya untuk didiami," katanya.
Jimmy berkata, pihaknya masih menerima permintaan penduduk untuk dipindahkan ke PPS dan pelbagai agensi bersiap sedia untuk membantu mereka.
Hujan berterusan lebih 9 jam sejak jam 3 petang semalam menyebabkan beberapa kampung dinaiki air.
Antaranya Kampung Kota Belud, Siasai Tamu, Bobot, Ejuk, Menunggui, Lebak Engad, Sembirai, Lingkodon, Donggoi, Marajah, Kampung Lebak Moyoh, Sadok-sadok, Gunding, Linau, Karang Benai, Taun Gusi Keranjangan, Tanjung Pasir, Labuan, Tanjung Wakap, Taun Gusi l, Jawi-jawi, Kesapang, Kota Bungan, Tawadakan, Lilud, Merabau, Sangkir, Kota Peladok, Pengkalan Abai, Limatok, Rantai Rosok dan Pirasan.
Jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan adalah Jalan Kampung Menunggui dan Jalan Lebak Moyoh Bypass Kudat.
Sumber : Jumlah mangsa banjir di Kota Belud terus meningkat
0 Comments