Curi 23 lembu, reman 5 penjawat awam disambung

JOHOR BAHRU: Reman lima penjawat awam termasuk seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pegawai sebuah universiti awam di sini, yang dipercayai terbabit dalam kecurian 23 lembu di Kulai pada 16 Mei dan Khamis lalu, disambung tiga hari bermula semalam sehingga esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sambungan reman itu dibuat bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

"Reman kesemua suspek kes curi 23 lembu di Kulai disambung semula sehingga esok.

"Polis akan siapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya termasuk pendakwaan, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan polis berjaya menahan lapan lelaki terdiri daripada lima penjawat awam iaitu seorang pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat serta seorang pegawai sebuah universiti awam di negeri ini selain dua polis bantuan serta seorang orang awam yang dipercayai terbabit mencuri 23 lembu yang dianggarkan bernilai lebih RM55,000.

Polis turut dilaporkan merampas selaras senapang patah, 76 peluru senapang patah, dua kelongsong peluru, sebuah pacuan empat roda milik universiti awam, dua kapak, empat pisau kecil, empat mata pisau serta tiga parang.

Turut dirampas ialah peti sejuk beku yang mengandungi 73 bungkusan plastik berisi daging, sebiji batu asah, tiga lampu limpah, lima gelung tali plastik, sebuah motosikal, lapan telefon bimbit, dua lampu suluh serta sebuah beg galas hitam.

Ayob Khan berkata, pihaknya memberi amaran terhadap pegawai dan anggota agensi penguatkuasa yang terbabit bersengkongkol melakukan jenayah, tindakan tegas akan diambil sekiranya cukup bukti.

"Bagi anggota Polis Diraja Malaysia yang ditahan, kita akan ambil tindakan termasuk menyerahkan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi disiasat selain disiasat mengikut undang-undang negara sebelum tindakan tata tertib diambil, " katanya.



Sumber : Curi 23 lembu, reman 5 penjawat awam disambung

Post a Comment

0 Comments