Mangsa banjir meningkat, 15 PPS dibuka

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di beberapa daerah terjejas di Sabah meningkat mendadak kepada 1,210 orang dengan 15 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak jam 12 tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar, berkata 15 PPS yang beroperasi membabitkan daerah Kota Belud, Papar, Penampang, Tenom dan Beaufort.

"Di Kota Belud, seramai 323 mangsa dari 32 kampung ditempatkan di empat PPS iaitu Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Muhibbah Kampung Tombol, Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hwa dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud.

"Di Penampang, seramai 19 mangsa dari 12 kampung ditempatkan di dua PPS di Pusat Kebudayaan Penampang.

"Papar mencatat 62 mangsa dari 19 kampung yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Papar.

"Di Tenom, seramai 634 mangsa dari 13 kampung ditempatkan di lapan PPS iaitu Rumah Kebudayaan Ponontomon, Rumah Kebudayaan Kampung Labut 2, Rumah Kebudayaan Kampung Angalor, Dewan Mini Jinuin Mandalom, Dewan Seri Panglima Antanom, Rumah Kebudayaan Pantongan Saga, Rumah Kebudayaan Batu-Batu dan Rumah Kebudayaan Mandalom Lama.

"Di Beaufort, seramai 49 orang dari 24 kampung ditempatkan di PPS Dewan DSP Hj Dun Banir," katanya.

Kamal berkata, enam daerah lain turut terjejas akibat banjir iaitu Membakut dengan 19 kampung, Tuaran (17), Putatan (tiga), Keningau (dua), Pitas (empat) dan Kota Marudu (tujuh).

Bagaimanapun, katanya, tiada PPS dibuka di daerah terbabit.



Sumber : Mangsa banjir meningkat, 15 PPS dibuka

Post a Comment

0 Comments