PETALING JAYA: Polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan dinaiki empat lelaki warga asing yang cuba merempuh mereka ketika ditahan untuk pemeriksaan di berhampiran sebuah pusat membeli belah di Kota Damansara di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam, sepasukan anggota ronda cegah jenayah (RCJ) bermotosikal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sedang melakukan rondaan sebelum ternampak sebuah Honda City dalam keadaan mencurigakan.
Semasa proses pemeriksaan hendak dijalankan, kenderaan itu cuba merempuh anggota RCJ dan memaksa anggota berkenaan melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata kenderaan suspek turut melanggar beberapa kenderaan lain dalam usaha meloloskan diri.
"Anggota RCJ terus mengejar kenderaan suspek sehingga ke Jalan Persiaran Surian, Kota Damansara dengan dibantu sepasukan anggota Rondaan Aberden menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) yang kebetulan berada di kawasan berhampiran.
"Kenderaan suspek terus memecut sebelum berjaya disekat berhampiran Flat Gugusan Dedap, Kota Damansara dan empat suspek dalam kenderaan itu melarikan diri.
"Dua daripadanya berjaya ditahan namun dua lagi suspek meloloskan diri. Semua mereka adalah warga negara asing dan disyaki terbabit dengan kegiatan pecah rumah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, ketika proses tangkapan dijalankan, suspek tidak memberi kerjasama dan bertindak agresif. Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Jalan Anjung Putra Off Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
"Pemeriksaan di situ menemui pelbagai barangan yang dipercayai hasil pecah rumah antaranya itu lima beg tangan berjenama, dua tali pinggang, dua jam tangan, satu pasport Amerika Syarikat, serta wang tunai RM167," katanya.
Dua suspek terbabit kini direman tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 180 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Usaha memburu dua suspek yang lolos kini sedang dijalankan," kata Nik Ezanee.
Sumber : Dua warga asing terbabit jenayah pecah rumah ditahan, dua lagi lolos
0 Comments