
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berurusan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak atau Balai Polis Selayang tidak perlu bimbang kerana tiada anggota mereka yang disahkan positif COVID-19 berurusan dengan orang awam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata proses sanitasi juga sudah dijalankan dalam memastikan IPD Gombak dan Balai Polis Selayang bebas daripada virus berkenaan.
"Pengambilan suhu badan, penggunaan cecair pembersih tangan, pemakaian pelitup hidung dan mulut serta penjarakan sosial memang diamalkan di IPD ini.
"Justeru kita minta orang ramai yang sudah berurusan atau akan berurusan di IPD Gombak dan Balai Polis Selayang supaya tidak bimbang kerana mereka yang positif itu tidak berurusan dengan orang awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, kes pertama dikesan positif COVID-19 dilaporkan di Perumahan Polis Gombak pada 18 Mei lalu membabitkan seorang pelajar berusia 16 tahun yang juga anak kepada seorang anggota polis.
"Semua ahli keluarga serta rakan rapat pelajar terbabit sudah disaring dan disahkan negatif. Bagaimanapun, ibunya yang juga seorang anggota polis di IPD Gombak serta seorang rakan pelajar itu yang berusia 17 tahun, disahkan positif.
"Sehubungan itu, saringan kontak rapat anggota terbabit dibuat pada 22 Mei lalu dan daripada kira-kira 200 pegawai dan kakitangan IPD Gombak yang disaring, hanya seorang disahkan positif," katanya.
Susulan itu, katanya proses sanitasi pejabat dan rumah dibuat dan tiada kes dilaporkan positif sehingga semalam.
"Bagaimanapun dimaklumkan seorang Pegawai Kanan IPD Gombak yang telah bertukar pada 1 Jun lalu dikatakan positif saringan kedua.
"Tindakan segera telah diambil dengan melakukan saringan semula ke atas semua kontak rapat pegawai terbabit dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan 12 orang dikuarantin sementara menunggu keputusan," kata Arifai.
Katanya, tiga daripada mereka yang positif sebelum ini sudah sembuh dan sudah di discaj dari hospital, manakala dua lagi masih menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya hari ini memaklumkan satu kluster baharu dikesan di IPD Gombak membabitkan lima kes positif dengan satu kes baharu dicatatkan hari ini.
"Kita akan melaksanakan penyaringan kepada kakitangan IPD itu. Mereka yang positif akan diasingkan dan kontak rapat kita akan kuarantin," katanya.
p>
Sumber : COVID-19: Jangan bimbang berurusan di IPD Gombak, Balai Polis Selayang
0 Comments