KUALA LUMPUR: Meskipun fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi banyak kelonggaran, namun dalam kalangan pencinta alam semulajadi mereka tetap merindui aktiviti mendaki, merentasi hutan serta bermandi peluh sambil menghayati kehijauan alam.
Ini kerana kegiatan pendakian, perkhemahan atau merentas hutan tidak dibenarkan biarpun kerajaan ketika ini sudah memberi kelonggaran kepada orang ramai berjoging atau sukan lain dengan syarat mereka mematuhi penjarakan sosial tanpa membabitkan kumpulan besar.
Justeru apabila Projek Taman Tugu dibuka kembali mulai 8 Mei lalu selepas sekian lama ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bertujuan mengekang penyebaran COVID-19, ia sungguh melegakan, sekali gus mencatatkan bilangan pengunjung ramai.
Dalam keadaan norma baharu, pembukaan hutan hujan tropika, Projek Taman Tugu menjadi tarikan kepada warga kota sekitar Lembah Klang untuk mengunjunginya, apatah ia adalah satu-satunya hutan di Kuala Lumpur yang dibuka untuk aktiviti riadah orang awam.
Pengarah Projeknya, Calvin Raqeem Jacob, berkata hanya laluan jejak (trail) utama dibuka dengan mematuhi garis panduan ketat selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Selain trek laluan jejak utama, tandas dan tempat letak kenderaan, kemudahan lain seperti tempat rehat berbumbung, gazebo, buaian, operasi trak makanan serta fasiliti penapis air masih ditutup, bertujuan mengelakkan orang ramai berkumpul.
"Trek laluan jejak dibuat sehala berbanding operasi sebelum ini bertujuan mengelakkan berlaku pertembungan antara satu sama lain, selain menambah papan tanda garis panduan, melakukan kiraan pengunjung masuk dan keluar serta memeriksa suhu setiap mereka," katanya.
Khazanah alam seluas 16.1 hektar dibuka percuma setiap hari antara jam 7 pagi hingga 6.30 petang, merekodkan hingga 5,000 pengunjung dalam tempoh seminggu.
Bagaimanapun, jumlah pengunjungnya meningkat ketika hujung minggu dan hari kelepasan awam berikutan projek tanggungjawab sosial korporat diselia Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) satu-satunya hutan rekreasi yang tersendiri di tengah ibu kota.
Calvin Raqeem juga berkata, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara, Projek Taman Tugu juga melihat operasi taman riadah dikendalikan di luar negara untuk disesuaikan dengan keperluan tempatan.
"Kita memahami keinginan warga kota untuk beriadah, jadi kawasan hijau dibuka dengan pemantauan rapi supaya tidak berlaku kes diingini berlaku," katanya sambil menegaskan orang ramai perlu peka mengelakkan jangkitan, memakai pelitup separuh muka jika perlu dan mengekalkan jarak dua meter antara satu sama lain.
Seorang pengunjung, Zi Yi, 59, berkata dia sanggup memandu dari Klang semata-mata mahu melakukan aktiviti merentas hutan yang begitu sinonim dengannya, selepas hampir tiga bulan tidak melakukan kegiatan luar susulan PKP.
"Ini adalah kali pertama saya datang dan sejak 8 pagi lagi saya dengan beberapa kawan tiba di sini, kami perlu beratur untuk memasuki trek namun hanya menunggu sekitar 15 atau 30 minit, berikutan setiap orang keluar dan masuk dikira.
"Menyaksikan kehijauan alam itu membuat jiwa tenang, udara segar dan seluruh kawasan dijaga bersih, membuatkan perasaan mahu mengunjungi lagi biarpun perlu melalui perjalanan berpuluh kilometer," katanya seorang ibu tunggal dan bergantung hidup dengan pendapatan pengusaha van sekolah.
Bagi arkitek, Muizz Adam, 33, berkata beliau mengetahui pembukaan taman tugu itu melalui perkongsian di media sosial, mendorongnya keinginannya untuk keluar beriadah, berjumpa orang ramai dan mengeluarkan peluh.
"Biarpun masih takut dengan penularan COVID-19, saya nampak usaha pengurusan Taman Tugu ini melakukan langkah pencegahan dan sebagai individu kita perlu menjaga diri sendiri, misalnya mengelakkan berada rapat dengan orang lain, mencuci tangan dan memastikan pakaian dan segera mandi apabila balik ke rumah.
"Berada sekitar 45 minit cukup menyegarkan kerana sudah lama kita terperuk dalam rumah, apabila boleh melakukan aktiviti luar, ia satu kelegaan, kerana kita berinteraksi dengan kehijauan alam, mengeluarkan peluh sihat dan kembali melakukan aktiviti yang menjadi rutin satu ketika dahulu," katanya dari Kota Damansara.
Sumber : Projek Taman Tugu beri kepuasan pencinta alam dalam norma baharu
0 Comments