'Hanya fikirkan mati hampir sejam berpaut bot terbalik di laut'

PASIR MAS: "Saya hanya memikirkan mati selepas hampir sejam berada di lautan dengan cuma berpaut pada bot, malah dua kali hampir lemas dihempas ombak kuat," kata Haris Mat Yasin, 50.

Beliau adalah salah seorang mangsa terselamat dalam tragedi bot terbalik membabitkan 20 pemancing dan tekong dalam kejadian di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin, Bachok, malam tadi.

Menceritakan insiden itu, Haris berkata, hujan lebat secara tiba-tiba ketika mereka baru mula mencandat sotong, selain berlaku ribut disusuli ombak setinggi lebih tiga meter menghempas bot.

"Dalam keadaan kelam-kabut, saya dan beberapa rakan lain sempat terjun ke laut melalui tingkap bot kerana tidak mahu terperangkap jika ia terbalik.

"Mujur saya dibantu oleh seorang lagi mangsa terselamat, Muhammad Faris Ramli, 22, yang menyuruh saya berpaut pada bot separuh tenggelam. Keadaan ketika itu bukan saja gelap-gelita, malah kami dihempas ombak kuat.

"Apa yang saya ingat, tekong bot berenang meninggalkan kami untuk cuba mendapatkan pertolongan daripada bot nelayan berhampiran.

"Ketika itu, hanya beberapa orang yang saya dapat lihat dengan jelas di mana masing-masing lemah tetapi cuba berpaut dan bertahan untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di rumah beliau di Kampung Padang To'la, di sini, hari ini.

Haris yang berpengalaman mencandat sotong sebelum ini, mengaku tragedi itu paling getir pernah dilalui dirinya dan beliau masih trauma.

"Sebaik saja ada nelayan datang membantu, saya berasa amat lega serta bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan selamat dalam tragedi itu. Saya diberi minuman selepas diselamatkan kerana berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

"Sekarang, wajah rakan lain bermain dalam fikiran saya, terutama mereka yang masih hilang dan terkorban. Saya hanya mampu berdoa semoga mereka semua ditemui segera.

"Selepas tragedi ini, saya berasa serik untuk ke laut kerana ia pengalaman yang sangat menakutkan. Alhamdulillah, saya selamat dan dapat kembali ke pangkuan isteri tercinta, Anita Musa, 41," katanya yang juga seorang pesawah.



Sumber : 'Hanya fikirkan mati hampir sejam berpaut bot terbalik di laut'

Post a Comment

0 Comments