KUALA LUMPUR: Seorang suspek yang dicari polis berhubung kes culik dan bunuh ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, tampil menyerah diri malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata suspek berusia 28 tahun dikenali sebagai Thamby @ Vinod itu, menyerah diri di Balai Polis Rawang di sini.
"Permohonan reman dibuat pagi tadi dan mahkamah membenarkan suspek ditahan tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Julai depan.
"Sementara itu, seorang suspek yang tamat reman hari ini disambung reman selama tujuh hari lagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Fadzil memaklumkan seorang suspek yang turut dikehendaki polis sebelum ini bagi membantu siasatan kes berkenaan berjaya ditangkap.
Suspek dikenali 'El' berusia 26 tahun itu ditahan jam 7.30 malam kelmarin di Bukit Sentosa, Hulu Selangor dan direman seminggu bagi membantu siasatan.
Sabtu lalu, tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh diberkas dalam serbuan berasingan sejak Jumaat lalu.
Semua suspek termasuk seorang lelaki bergelar Datuk berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun sudah direman antara tiga hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Mangsa berusia 55 tahun yang diculik ketika sedang berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, sekitar jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.
Mayatnya ditemui di dalam belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, Rawang kira-kira jam 9 pagi hasil siasatan ke atas salah seorang suspek.
Sumber : Thamby serah diri elak diburu polis
0 Comments