Identiti dua mayat terperangkap dalam kereta belum dapat disahkan

JITRA: Identiti pasangan yang ditemui maut terperangkap di dalam kereta Proton Saga di dalam Sungai Lana Bulu, Megat Dewa, Kodiang, malam tadi, masih belum dapat disahkan pihak berkuasa sehingga kini.

Bagaimanapun, rakan rapat mengesahkan berdasarkan nombor pendaftaran, kereta terbabit milik seorang lelaki yang bertugas sebagai anggota tentera di sini, yang hilang bersama rakan wanitanya sejak seminggu lalu.

Difahamkan, usaha pengecaman ke atas kedua-dua mangsa sukar dilakukan berikutan keadaan mayat yang yang sudah mereput dan bercampur lumpur sehingga gagal dikenali rakan rapat.

Bapa angkat mangsa, Fazil Abu, 52, berkata dia pasti kereta itu adalah milik mangsa lelaki berusia 31 tahun yang juga anak angkatnya kerana sering melihat dia memandunya.

Katanya, keluarga anak angkatnya yang berasal dari Perlis itu juga sudah membuat laporan polis berhubung kehilangannya sebelum ini.

"Walaupun kereta yang ditemui dalam sungai itu milik anak angkat saya, tetapi saya bimbang ia dipinjam kenalan atau rakannya.

"Bagaimanapun jika benar dia pun, kami reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di lokasi awal pagi tadi.

Fazil berkata, dia hanya mengetahui penemuan kereta milik anak angkatnya itu melalui laman sosial Facebook selepas dihubungi salah seorang anaknya.

Katanya, dia dan isterinya, Siti Aisyah Had, 45, kemudian bergegas ke lokasi untuk melihat sama ada mayat dalam kereta itu adalah anak angkatnya atau tidak.

Pasukan penyelamat melakukan operasi untuk mengangkat mayat dua mangsa yang ditemui dalam kereta di Sungai Lana Bulu, Megat Dewa. - Ihsan Bomba
Pasukan penyelamat melakukan operasi untuk mengangkat mayat dua mangsa yang ditemui dalam kereta di Sungai Lana Bulu, Megat Dewa. - Ihsan Bomba

"Polis tak bagi kami masuk sebab bimbang terlalu ramai di kawasan itu selain menyukarkan operasi dilakukan.

"Kami berserah kepada Allah dan berdoa supaya mayat lelaki itu bukan anak angkat kami," katanya.

Sementara itu, anggota polis, bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil masa hampir empat jam sebelum dapat mengeluarkan dua mangsa terbabit.

Komander Operasi BBP Jitra, Mohd Bustan Karudin berkata, kereta berkenaan berjaya ditarik ke tebing dengan bantuan dua trak penunda.

Beliau berkata, mayat pertama dikeluarkan pada jam 12.45 tengah malam dan mayat kedua dikeluarkan pada jam 1.20 pagi.

"Kereta itu ditemui selepas air sungai surut dan berkemungkinan kereta terjatuh sejak kelmarin lagi.

"Dua mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar," katanya.

Berita berkaitan:



Sumber : Identiti dua mayat terperangkap dalam kereta belum dapat disahkan

Post a Comment

0 Comments