Majlis Perbandaran Minneapolis akan rombak jabatan polis

WASHINGTON: Jabatan polis di Minneapolis akan dirombak dan dibangunkan semula, menurut anggota Majlis Perbandaran pada lewat Ahad.

Langkah itu susulan kematian seorang tahanan lelaki berkulit hitam, George Floyd akibat keganasan polis sehingga mencetuskan tunjuk perasaan terhadap isu perkauman.

"Kami tekad untuk merombak dasar di Minneapolis dan untuk membangunkan kembali dengan komuniti model keselamatan baharu yang benar-benar menjaga keselamatan masyarakat kami," kata Presiden Majlis Perbandaran, Lisa Bender kepada CNN.

Ahli Majlis Perbandaran, Alondra Cano dalam ciapan di Twitter berkata, keputusan dibuat setelah memperoleh kelulusan majoriti daripada Majlis Perbandaran MPLS yang bersetuju bahawa jabatan polis tidak boleh diperbaiki dan pihaknya akan mengakhiri sistem kepolisan ketika ini.

Seorang anggota polis Minneapolis didakwa atas pembabitan dalam kes pembunuhan Floyd pada 25 Mei lalu.

Pegawai polis berkulit putih itu menekan leher Floyd menggunakan lututnya selama hampir sembilan minit dalam rakaman video yang tular.

Kematian Floyd mencetuskan bantahan besar-besaran seluruh negara sebagai tanda menentang perkauman dalam pelaksanaan undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Pada tahun lalu, seorang bekas polis Minneapolis berkulit hitam dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan enam bulan kerana melepaskan tembakan maut ke arah seorang wanita warga Australia berkulit putih dan tidak bersenjata kerana cuba melaporkan jenayah.

Bender memberitahu CNN bahawa beliau sedang meneliti untuk mengalihkan dana polis ke strategi berasaskan komuniti sambil menegaskan Majlis Perbandaran akan membincangkan bagaimana untuk menggantikan jabatan polis ketika ini.

"Idea untuk tidak mempunyai jabatan polis tentunya tidak dilakukan dalam jangka masa pendek," katanya. - AFP



Sumber : Majlis Perbandaran Minneapolis akan rombak jabatan polis

Post a Comment

0 Comments