
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) akan turut menumpukan pembangunan produk pelancongan terutama pelancongan desa dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan penduduk di wilayah Johor Tenggara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata antara produk pelancongan menarik adalah The Wetlands di Kampung Belukar Durian dan pembangunan Pusat Penternakan dan Penetasan Belangkas di Sedili Kecil.
Selain itu, katanya, Muzium Nelayan Tanjung Balau dan Kubu British Perang Dunia Kedua di Pengerang.
"KEJORA juga akan fokus kepada pertanian di kawasan seluas 809 hektar dalam usaha menjadi penyumbang kepada industri pengeluaran negara," katanya.
Beliau menjelaskan, antara program pertanian KEJORA termasuk Program Tanaman Campuran, Projek Ladang Buah Berskala Besar (EPP7) - tanaman nanas dan pembangunan akuakultur.
Hari ini, Abd Latiff melakukan lawatan kerja ke KEJORA, siri ketiga lawatan kerjanya ke agensi-agensi di bawah kementeriannya di seluruh negara selepas Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) disusuli Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Lawatan kerja itu bertujuan meninjau kemajuan dan menilai semula pembangunan di wilayah terbabit sesuai dengan pakej prihatin rakyat yang diumumkan kerajaan untuk merangsang ekonomi rakyat.
Abd Latiff yakin usaha memperkukuh agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu di seluruh negara secara komprehensif penting supaya ia terus relevan dan menjadi pejuang orang kampung, sesuai dengan visi kementerian membawa kesejahteraan di luar bandar.
Katanya, program keusahawanan juga dilihat sebagai tunjang dalam usaha kerajaan menjana ekonomi rakyat.
"Aktiviti di bawah Program Peningkatan Pendapatan KEJORA adalah Skim Bantuan Modal Niaga (SBMN) dan Projek Ternakan Madu Lebah Kelulut.
"Aktiviti program promosi dan pemasaran adalah penyertaan dalam ekspo dan karnival, selain Program Transformasi Kualiti Produk (Pembungkusan & Pelabelan)," katanya.
Katanya, program pembangunan KEJORA fokus kepada pembangunan bandar dan petempatan (perumahan), penyediaan infrastruktur dan kemudahan, pembangunan pelancongan, pembangunan usahawan, pembangunan pertanian, pembangunan industri dan pembangunan modal insan. - BERNAMA
Sumber : KEJORA tumpu bangunkan produk pelancongan
0 Comments