Kementerian Sumber Manusia akan kemukakan pelan komprehensif pelaksanaan inisiatif PENJANA

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia akan mengemukakan pelan komprehensif dalam masa terdekat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan semua inisiatif berkaitan kementerian itu susulan pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kelmarin.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) itu bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara.

Beliau berkata, kementeriannya menyambut baik pengumuman PENJANA oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin dan komited melaksanakan serta menjayakan semua inisiatif berkaitan dengan kementerian itu dalam memperkukuhkan pasaran tenaga kerja negara.

Katanya, inisiatif bawah PENJANA itu diharap dapat membantu rakyat kekal dalam pekerjaan selain mereka boleh merebut peluang meningkatkan kemahiran mereka menerusi pelbagai program yang disediakan Kementerian Sumber Manusia.

"Ini sekali gus dapat memberi nilai tambah kepada pekerja dan meningkatkan potensi kejayaan padanan kerja selain meningkatkan kebolehpasaran pekerja dalam pasaran buruh.

"Antara inisiatif bawah Kementerian Sumber Manusia yang diumumkan adalah memperluaskan Program Subsidi Upah, pengenalan Program Insentif Pengambilan Pekerja, mewujudkan Dana Padanan Caruman untuk perlindungan sosial pekerja ekonomi gig serta menambah baik Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara bawah PERKESO.

"Program Subsidi Upah yang dilaksanakan bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) dilanjutkan selama tiga bulan lagi membabitkan peruntukan berjumlah RM5 bilion bagi membantu syarikat terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meneruskan operasi tanpa mengambil langkah drastik seperti menutup syarikat dan memberhentikan pekerja," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Saravanan berkata, inisiatif itu dijangka dapat membantu lebih 2.7 juta pekerja tempatan.

Selain itu, pengenalan Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan peruntukan RM1.5 bilion sebagai insentif kepada majikan untuk menyediakan peluang pekerjaan untuk pekerja tempatan, dijangka memberikan manfaat kepada lebih 300,000 penganggur.

Katanya, bantuan mobiliti dan program latihan dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) juga akan disediakan untuk penganggur dan pekerja yang bukan pencarum PERKESO, termasuk lepasan sekolah dan lulusan universiti.

"Kementerian juga akan menyediakan dana padanan berjumlah RM50 juta bagi pembayaran caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO untuk melindungi pekerja ekonomi gig selama satu tahun.

"Bagi menyokong sistem kerja anjal yang dilaksakan ketika pandemik COVID-19, kerajaan juga memperkenalkan Skim Bencana Pekerjaan yang akan melindungi pekerja terbabit dalam kemalangan berkaitan dengan pekerjaan di rumah," katanya.

Saravanan berkata, kesemua langkah-langkah itu akan dilaksanakan oleh PERKESO berkuatkuasa pada 15 Jun ini manakala Kementerian Sumber Manusia akan memantau bagi memastikan majikan mematuhi peraturan dalam menjaga hak dan kebajikan pekerja.

Jumaat lalu, ketika membentangkan PENJANA, Muhyiddin mengumumkan peruntukan hampir RM9 bilion yang akan memanfaatkan tiga juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif.

Muhyiddin filaporkan berkata, insitif pertama membabitkan peluasan subsidi upah bernilai RM5 bilion yang disambut baik oleh pekerja dan majikan, sejak diperkenalkan dalam pakej PRIHATIN dan dan PRIHATIN PKS Tambahan sebelum ini.



Sumber : Kementerian Sumber Manusia akan kemukakan pelan komprehensif pelaksanaan inisiatif PENJANA

Post a Comment

0 Comments