KK Mart intai peluang buka lebih banyak cawangan di India

KUALA LUMPUR: KK Super Mart berharap dapat membuka lebih banyak cawangan di India, dalam suasana kebiasaan baharu ekoran COVID-19 dan mengembangkan platform e-dagang untuk memudahkan pengguna membeli produk penting secara dalam talian.

Pengasasnya merangkap Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat KK, Datuk Seri Dr KK Chai, berkata rangkaian kedai 24 jam itu akan meneruskan pelan untuk melebarkan sayapnya di India dengan membuka lebih banyak cawangan pada masa akan datang, selain tiga cawangan sedia ada di bandar Kolkata, ibu kota Bengal Barat.

"Ya, kami merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di India dan berhasrat memberi lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pelanggan.

"Kami akan terus mengekalkan daya saing melalui nilai untuk wang yang lebih baik dan mempelbagaikan produk kami," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat di India, Chai berkata syarikat itu telah mengedarkan barang keperluan penting dan memberi makan kepada ratusan orang yang kehilangan tempat tinggal serta terjejas akibat wabak itu, setiap hari di Kolkata.

Walaupun cawangan di India tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana sekatan pergerakan, syarikat itu tetap menyediakan ratusan bungkusan makanan setiap hari kepada mereka yang memerlukan.

"Bungkusan makanan dihulurkan sekurang-kurangnya kepada 300 orang setiap hari. Kira-kira 2,000 orang telah mendapat manfaat daripada bantuan itu," katanya, sambil menambah terdapat 15 cawangan KK Mart di Nepal.

Chai berkata, pasca-COVID-19, syarikatnya akan mewujudkan dan memperluas platform e-dagang berikutan terdapat perubahan ketara pola tingkah laku pengguna.

"Disebabkan wabak itu, pola tingkah laku pelanggan alami perubahan apabila lebih selesa membeli secara dalam talian.

"Kami juga mempelbagaikan produk dengan menjual buah-buahan segar, sayur-sayuran, ikan dan daging serta produk lain untuk memenuhi keperluan pengguna," katanya.

Chai berkata selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan di sebalik penularan wabak, beliau meramalkan permintaan barang keperluan akan meningkat.

"Untuk mencapai sasaran 500 kedai pada 2020 dan 1,000 dalam masa tiga tahun, kami mempercepat pertumbuhan selepas PKP kerana meramalkan permintaan barangan penting meningkat walaupun berlakunya pandemik," kata Chai yang tetap optimis meskipun 2020 adalah tahun yang penuh mencabar.

-BERNAMA



Sumber : KK Mart intai peluang buka lebih banyak cawangan di India

Post a Comment

0 Comments