Liverpool kritik tindakan penyokong

LONDON: Liverpool secara terbuka mengkritik sebahagian penyokongnya atas 'kelakuan tidak boleh diterima' apabila berkumpul di bandaraya berkenaan untuk meraikan kejayaan kelab itu merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

Dalam kenyataan bersama dengan polis Merseyside dan Majlis Bandaraya Liverpool, kelab berkenaan mengutuk tindakan penyokong mereka yang tidak menghiraukan garis panduan penjarakan sosial pandemik COVID-19 di tebingan Pier Head.

"Bandaraya ini masih berdepan krisis kesihatan awam dan kelakuan mereka ini tidak boleh diterima," kata kenyataan itu.

"Potensi bahaya gelombang kedua COVID-19 masih wujud dan kita perlu bekerjasama untuk memastikan tidak melakukan perkara yang sudah berjaya dicapai ketika arahan perintah berkurung."

Datuk Bandar Liverpool, Joe Anderson turut mengutuk situasi berkenaan, dengan mendakwa menerusi akaun Twitternya, mereka (penyokong Liverpool) mencalarkan imej bandaraya berkenaan.

Sebahagian peminat Liverpool meraikan kejayaan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris berikutan kemenangan Chelsea 2-1 ke atas Manchester City, di luar stadium Anfield di Liverpool, barat laut England pada 25 Jun 2020. - Foto AFP
Sebahagian peminat Liverpool meraikan kejayaan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris berikutan kemenangan Chelsea 2-1 ke atas Manchester City, di luar stadium Anfield di Liverpool, barat laut England pada 25 Jun 2020. - Foto AFP

Gambar di media sosial menunjukkan bunga api dipasang di bangunan Liver Bird, salah satu daripada mercu tanda terkenal di bandaraya itu ketika malam kedua meraikan kejayaan pasukan itu.

Sampah sarap pula ditinggalkan di kawasan berkumpul sebelum ia dibersihkan oleh Majlis Bandaraya.

Liverpool mengesahkan kejuaraan EPL Khamis lalu selepas satu-satunya pesaing mereka, Manchester City tewas 1-2 kepada Chelsea sekali gus menyaksikan The Reds tidak mampu dipintas lagi.

- AFP



Sumber : Liverpool kritik tindakan penyokong

Post a Comment

0 Comments