LIMBANG: Seorang pesara guru wanita mendakwa kerugian RM516,457 dipercayai ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM) dan polis sejak Mac hingga 22 Mei lalu.
Susulan itu, mangsa berusia 61 tahun dari Kampung Berawan Batu 6, Jalan Kubong, di sini, tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata pada mulanya, mangsa dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa adalah pegawai TM dan memberitahu kononnya talian telefon didaftarkan atas nama wanita itu akan dipotong kerana disyaki terbabit kegiatan judi dalam talian.
"Mangsa kemudian disambungkan kononnya kepada seorang anggota polis di Kuantan, Pahang, bernama Sarjan Zulkifli Atot yang mendakwa membuat semakan dan mendapati pengadu ada menerima dana melalui bank berjumlah RM200,000 hasil daripada aktiviti judi haram," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, mangsa kemudian diarahkan menghubungi seorang wanita kononnya Inspektor Siti Nur Milah Jamil yang mendakwa siasatan akan dijalankan dengan mangsa perlu menyerahkan semua wang di dalam akaun banknya.
Akibat takut, katanya, mangsa telah mengikut arahan itu sehingga mengalami kerugian RM516,457, termasuk wang RM265,000 yang dipindahkan daripada akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Susulan itu, beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber : Macau Scam: Pesara guru dakwa kerugian lebih RM500,000
0 Comments