Nama S. Pavithra sememangnya tengah viral sekarang ini sehinggakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa kali ‘memetik’ nama YouTuber masakan itu dalam ucapan.
Bukan sekadar cerita pasal masakan, malah cerita S. Pavithra berpindah rumah turut menjadi perbualan ramai.
Sehinggakan ramai warganet menyangka mereka kini meraih pendapatan lumayan sehingga mampu membeli rumah dalam masa singkat.
Punca sebenar pindah
Bagaimanapun, M. Sugu, menjelaskan bahawa dia dan isteri, S. Pavithra berpindah ke rumah baharu bukan kerana memperolehi sumber pendapatan lumayan hasil video masakannya di Youtube.
Sebaliknya, Sugu memberitahu, selepas membuat keputusan berhenti kerja, dia tidak boleh terus tinggal di sana memandangkan rumah tersebut merupakan kuarters yang disediakan khusus buat pekerja ladang sahaja.
” Dulu saya tinggal di kuarters, jadi apabila sudah berhenti kerja, saya kena cari rumah lainlah.
” Rumah baharu ini pun bukan saya beli, saya hanya menyewa dengan membayar RM400 sebulan,” jelasnya kepada Gempak.
Terdahulu, menerusi satu video di YouTube, pasangan tersebut berkongsi pengalaman mereka berpindah ke rumah baharu di Sungai Siput, Perak.
Ekoran video tersebut, ramai yang membuat andaian mendakwa pasangan tersebut kini benar-benar menjana pendapatan tinggi di YouTube sehingga mampu berpindah ke rumah baharu.
Dalam pada itu, kata Sugu, selepas ini, dia tetap berhasrat untuk mencari pekerjaan lain sebagai sumber pendapatan tetapnya dalam menyara keluarga.
” Semua orang mahu berikan yang terbaik buat keluarga, begitu juga saya. Saya pun ingat nak cari kerja lain selepas ini. Tak bolehlah duduk rumah lama-lama.
” Tengoklah, mungkin kerja kilang ke atau apa sahaja yang ada dekat sini nanti,” katanya.
Begitupun, menurut Sugu dia akan terus tetap memberikan komitmennya bersama isteri, S. Pavithra dalam menghasilkan video-video masakan seperti biasa.
” Tak apa, kalau saya kerja nanti, masih ada masa di rumah untuk buat video pada waktu petang,” ceritanya.
Sebelum ini, kisah pasangan suami isteri keturunan India ini menerima perhatian rakyat Malaysia selepas video masakannya yang ringkas di YouTube menjadi viral.
Bahkan, pasangan yang menggunakan nama saluran Sugu Pavithra di YouTube itu juga turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehingga kini Sugu Pavithra mempunyai lebih 600,000 subscribers di YouTube.
via 1 MIN READ
0 Comments