PORT DICKSON: Rungutan orang ramai dan pengunjung di Pantai Teluk Kemang yang rimas dengan khemah sewaan di sepanjang pantai diambil perhatian pihak berkuasa tempatan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa, berkata bermula Jumaat lalu pihaknya dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menjalankan operasi bersepadu terhadap semua pengusaha khemah sewaan di sepanjang Pantai Teluk Kemang.
"Kami juga mendapat kerjasama baik daripada Pengerusi Persatuan Peniaga Teluk Kemang dan pengusaha yang terbabit dalam operasi itu dan notis pengosongan khemah sewaan (kayu) yang dikeluarkan oleh pihak MPPD pada 18 Jun lalu dengan arahan serta-merta.
"Sebanyak 30 khemah besi, dua khemah kayu dan beberapa khemah yang telah reput dikhuatiri berbahaya kepada orang ramai turut dibuka untuk keselesaan pengunjung yang datang beriadah di pantai ini" katanya ketika dihubungi.
Bagi pengusaha khemah sewaan yang lain, mereka dibenarkan beroperasi dengan syarat yang ditetapkan.
Mohd Zamri berkata, selepas khemah ini digunakan mereka harus menyimpan semula dan tidak meninggalkan khemah di kawasan pantai setelah habis beroperasi.
"Ini antara syarat yang perlu dilakukan jika pengusaha khemah ini mahu terus beroperasi dan keadaan pantai akan terus menjadi tarikan kepada pengunjung yang banyak merungut tentang ketidakselesaan beriadah di pantai.
Sumber : Tiada lagi khemah tepi pantai Port Dickson
0 Comments